P Pinang lulus pindaan had tempoh jawatan ketua menteri 2 penggal

P Pinang lulus pindaan had tempoh jawatan ketua menteri 2 penggal

Ketua menteri berkata pentadbirannya memberi keutamaan terhadap hasrat memperbaharui sistem politik.

GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini mencipta sejarah sebagai negeri pertama meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada 2 penggal.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan enakmen berkenaan selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu yang menggariskan jawatan ketua menteri dan menteri besar dihadkan kepada 2 penggal sahaja demi menerapkan amalan tadbir urus baik dan telus.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengutarakan perkara ini pada Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat sebagai satu langkah perlu disegerakan kerajaan Pakatan Harapan dalam melaksanakan reformasi sistem politik.

“Seiring dengan hala tuju kerajaan pusat, kerajaan Pulau Pinang turut memberi keutamaan terhadap hasrat memperbaharui sistem politik bagi memenuhi janji-janji manifesto semasa pilihan raya.

“Sekali lagi kerajaan Pulau Pinang akan melakar sejarah dengan menjadi negeri pertama di Malaysia akan melaksanakan had tempoh lantikan ketua menteri kepada dua penggal dan membawa pendekatan politik yang progresif ini,” katanya pada persidangan DUN di sini.

Chow berkata cadangan meminda perlembagaan Pulau Pinang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-undang Pulau Pinang pada 11 Jun lalu dan ia dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Julai dan Ogos lepas.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan tarikh penguatkuasaan enakmen tersebut bermula daripada PRU14.

Terdahulu, ketika membahaskan rang undang-undang itu, Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) berkata pindaan rang undang-undang itu membuktikan kerajaan PH menepati janji mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen.

Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus) pula berkata rang undang-undang itu akan membuka peluang kepada orang baharu terutamanya generasi muda untuk memegang jawatan tertinggi negeri berkenaan.

Sementara itu, pihak pembangkang mengambil pendekatan berkecuali dengan tidak memberikan sebarang undi.

Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) berkata tempoh masa bagi sesuatu jawatan itu bukanlah satu isu sebaliknya jika seseorang pemimpin itu berkelayakan dan berkemampuan, tidak menjadi masalah untuknya memegang jawatan itu bagi tempoh yang lama.

“Kalau ketua menteri yang ada pada hari ini mampu untuk terus mentadbir, apa salahnya kita terus menyokong. Itu tidak ada masalah asalkan tidak ada skandal. Bukan tertakluk kepada tempoh masa tetapi tertakluk kepada kemampuan untuk membangunkan negara mahupun negeri. Jadi, saya berkecuali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.