Khairy bidas skim FundMyHome hanya untungkan pelabur, pemaju

Khairy bidas skim FundMyHome hanya untungkan pelabur, pemaju

Ahli Parlimen Rembau itu menyindir pendahuluan 20% bagi skim FundMyHome bukannya untuk membiayai rumah sendiri kerana hartanah itu akan menjadi milik orang lain akhirnya.

Khairy Jamaluddin (kanan) mempersoalkan kerajaan bagaimana anak muda hendak mendapatkan wang sebanyak 20% untuk membayar pendahuluan skim FundMyHome, sedangkan mereka tiada wang sebanyak 10% untuk membeli rumah.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas skim pemilikan rumah, FundMyHome yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2019 hanya menguntungkan pelabur dan pemaju.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, skim itu tidak memanfaatkan pembeli rumah pertama, khasnya anak muda dan mereka yang berpendapatan rendah.

“Skim dia lebih kurang macam ini, kalau dapat bayar 20% daripada harga rumah tersebut, maka kita akan dapat duduk rumah itu selama 5 tahun.

“Kita tak akan memiliki rumah itu. 80% rumah itu akan dimiliki pelabur-pelabur yang kita pun tak tahu siapa dia,” katanya dalam Program Wacana U3.0 “Jom Bersama Khairy Jamaluddin” di sini, malam ini.

Di bawah skim FundMyHome, pembeli akan membayar 20% daripada harga rumah yang akan dimasukkan dalam akaun amanah untuk membayar pulangan pelaburan tahunan sebanyak 5% kepada bank terbabit selama 5 tahun.

Baki 80% akan disumbangkan bank terbabit. Tiada bayaran balik bulanan bagi 5 tahun pertama dan selepas itu pembeli boleh menjual, membeli bahagian hartanah yang tidak dimiliki mereka pada harga pasaran atau membiayai semula rumah itu.

Sebarang kemerosotan nilai hartanah itu selepas 5 tahun akan ditanggung pemiliknya. Bagaimanapun, ia terhad kepada 20% modal yang dilaburkan pada masa pembelian dan mereka tidak boleh menjual rumah itu dalam 5 tahun pertama.

Khairy mempersoalkan tujuan skim perumahan itu diwujudkan.

“Ini untuk siapa? Ini untuk pemaju, untuk orang kaya yang melabur, bukan untuk orang miskin, orang yang berpendapatan rendah, orang muda yang nak beli.

“Saya nak beritahu kerajaan, orang muda dia nak bayar deposit 10% pun tak ada, ini nak bayar 20% mana nak cari? 10% pun dia tak ada.”

Khairy turut menyindir: “FundMyHome bukannya rumah saya. 20% bukannya untuk rumah saya, tapi rumah orang lain.”

Dalam perkembangan lain, Khairy menyarankan pemimpin Umno dan ahli Parlimen berjumpa golongan yang terjejas dalam Bajet 2019 yang dibentangkan 2 November lalu.

Beliau memberi contoh bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah boleh menemui peminjam pendidikan yang terkesan.

“Jelaskan kepada mereka, sekarang ini macam mana dengan PTPTN, bukan kita nak hasut rakyat, tapi lebih kurang macam itulah,” katanya menjawab soalan hadirin adakah pembangkang akan mendiamkan diri berhubung pengumuman berkaitan PTPTN dalam Bajet 2019.

Kerajaan dalam belanjawan tahun depan melaksanakan jadual pembayaran balik baru, di mana potongan gaji 2% hingga 15% terpakai kepada peminjam berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Bekas menteri belia dan sukan itu turut menggesa wakil rakyat Barisan Nasional turun padang mendengar keluhan petani, nelayan dan pekebun kecil di kawasan masing-masing.

“Hujung minggu ini, jumpa petani dan nelayan di kawasan kita, buat piket di Jabatan Pertanian tuntut duit musim tengkujuh yang tak diberi.

“Strategi perang dalam politik ni kita kena banyak keluar dari dewan (Parlimen).”

Beliau menyifatkan tindakan menghasut rakyat itu adalah ke arah kebaikan demi memperjuangkan nasib mereka.

Katanya, beliau mewakili ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak Bajet 2019 yang tidak memanfaatkan rakyat, sebaliknya hanya menguntungkan pemaju serta pelabur.

“Bila kita potong biasiswa, bila kita potong peruntukan untuk kawasan luar bandar, bila kita potong peruntukan petani, nelayan dan pekebun kecil, apakah ini dianggap sebagai belanjawan yang mesra rakyat?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.