
Khashoggi yang merupakan kolumnis Washington Post dan pengkritik lantang Saudi, meninggal dunia selepas diberikan ubat dan mayatnya dikerat 5 tertuduh terbabit, kata jurucakap pejabat pendakwa raya dalam pengakuan pertama negara itu mengenai cara pembunuhannya.
Jurucakap itu berkata, keratan mayat wartawan terbabit kemudiannya diserahkan kepada seorang ejen di luar konsulat itu.
Pendakwa raya turut membersihkan nama Putera Mahkota, Mohammed bin Salman daripada kes itu dan mendakwa 2 pegawai kanan mengarahkan pembunuhan itu.
Seorang jurucakap menafikan Mohammed tahu mengenai pembunuhan itu di dalam kawasan Konsulat Saudi di Istanbul.
Katanya, Timbalan Ketua Perisikan Saudi, Jeneral Ahmed al-Assiri, memberi arahan untuk memaksa Khashoggi kembali ke Saudi dan “ketua pasukan rundingan” yang terbang ke Istanbul mengarahkan pembunuhannya.
Menurut kenyataan disiarkan agensi berita kerajaan SPA, pendakwa raya memohon hukuman mati bagi 5 pegawai yang “didakwa mengarah dan melakukan jenayah itu serta hukuman bersesuaian untuk individu lain yang didakwa”.
Seramai 21 individu ditahan berhubung pembunuhan itu, dengan 11 daripadanya dihadapkan ke mahkamah, manakala siasatan masih diteruskan ke atas individu lain.
Semalam, Turki menggesa siasatan antarabangsa dijalankan ke atas kematian Khashoggi.
Ankara berkongsi rakaman suara berkaitan pembunuhan itu dengan beberapa negara, termasuk Saudi, Amerika Syarikat dan sekutunya di Barat.