Kerajaan cadang pinda 2 akta ketatkan syarat kahwin bawah umur

Kerajaan cadang pinda 2 akta ketatkan syarat kahwin bawah umur

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 akan dipinda pada 2019.

Kementerian berharap kerajaan negeri dapat seiring dengan Kerajaan Persekutuan menangani perkahwinan bawah umur.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bercadang untuk meminda 2 akta pada 2019 dalam usaha mengetatkan syarat kelayakan bagi perkahwinan bawah umur, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, 2 akta yang yang akan dipinda ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Bagi perkahwinan orang bukan Islam pula, Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2019.

“Pindaan ini antaranya akan mengandungi keperluan untuk mengemukakan laporan sosial, laporan kesihatan dan laporan daripada PDRM bagi permohonan perkahwinan bawah umur di bawah Akta 164 yang sedang diterajui Kementerian Dalam Negeri.

“Selain daripada itu, kerajaan juga bercadang membentangkan Rang Undang-Undang bagi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) dan Akta 164, selewat-lewatnya pada penggal kedua Dewan Rakyat 2019,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian, menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang memintanya menyatakan apakah usaha penambahbaikan bagi memperketatkan kebenaran kahwin bawah umur serta adakah kerajaan bersedia meminda akta berkaitan sedia ada bagi menghalang segala bentuk perkahwinan bawah umur.

“Sebagai usaha menaikkan umur minimum perkahwinan dalam perundangan di Malaysia, kementerian sudah membentangkan hasrat kerajaan ini dalam Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) yang mana kedua-duanya berlangsung pada hari sama iaitu pada 16 Oktober 2018.

“Kementerian berbesar hati dan menghargai maklum balas positif semasa pembentangan dalam kedua-dua mesyuarat tersebut yang pada prinsipnya menyambut baik cadangan kerajaan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Mesyuarat MBKM secara spesifiknya memutuskan secara konsensus supaya umur perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun untuk lelaki dan wanita. Kementerian berharap kerajaan negeri dapat seiring bersama Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani perkahwinan bawah umur di negeri masing-masing,” katanya.

Wan Azizah menambah, beliau sendiri sudah dimaklumkan melalui sesi “Muzakarah Pakar: Isu Perkahwinan Bawah Umur” yang diadakan Jakim pada 8 November 2018 dengan penglibatan hakim syarie, peguam syarie, jabatan agama Islam, penasihat undang-undang negeri, bahawa terdapat negeri yang mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan SOP di negeri masing-masing.

“Di negeri Kedah, selain perlu mengemukakan laporan sosial bagi pasangan yang ingin berkahwin di bawah umur, mereka juga perlu menghadirkan diri ke Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas berkahwin untuk sesi kaunseling bagi tujuan pemantauan, sehingga mereka berumur 18 tahun.

“Negeri Selangor juga yang sekian lama mempunyai persefahaman bersama JKM negeri, memastikan laporan sosial yang dikemukakan bagi permohonan perkahwinan bawah umur perlu mengambil kira aspek latar belakang, pendidikan, sosio ekonomi dan keadaan tempat tinggal kanak-kanak tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.