
Katanya, “resipi” untuk krisis baru tercetus dalam proses pembuatan.
“Kedua-dua sektor awam dan swasta perlu mengambil langkah pencegahan, bukan sahaja untuk melindungi perniagaan masing-masing, tetapi mengurangkan sebarang kesan yang akan datang bertali arus,” katanya dalam ucaptama Seminar Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) mengenai PKS hari ini.
Bekas ketua Wanita Umno itu merujuk perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, serta sekatan Washington ke atas Iran sebagai faktor berpotensi untuk krisis global berlaku kelak.
Katanya, pengusaha PKS yang mempunyai hubungan perniagaan dengan mana-mana pihak dalam perang perdagangan AS-China harus memantau perkembangan semasa.
“Lupakan perkara yang telah berlaku, lihat masa yang sedang berjalan. Jangan lupa pantau pasaran minyak dan tarif perdagangan dunia setiap hari.
“Jangan hanya fokus pada siapa yang kena tangkap, siapa pula yang akan ditangkap. Bukannya kita tidak bimbang, tapi biarkan itu kepada kerajaan,” guraunya.
Perang perdagangan AS-China bermula, selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif ke atas produk China bernilai AS$34 bilion (RM141 bilion).
Beijing bertindak balas dengan mengenakan cukai (duti) ke atas produk AS sebanyak AS$50 bilion.
Washington mengenakan 3 pusingan tarif ke atas produk China tahun ini, berjumlah AS$250 bilion barang dagangan dan China membalasnya dengan pelaksanaan tarif ke atas lebih banyak produk AS.