Najib: Andaian Belanjawan 2019 sudah tak relevan tak sampai 10 hari

Najib: Andaian Belanjawan 2019 sudah tak relevan tak sampai 10 hari

Bekas perdana menteri mengingatkan dia pernah memberi amaran mengenai merumuskan belanjawan berdasarkan harga minyak mentah Brent AS$72 setong.

KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terus mengkritik belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), mengatakan keputusan merumuskan belanjawan berdasarkan harga minyak mentah Brent AS$72 setong sudah memakan diri.

Najib (BN-Pekan) mengingatkan dia pernah memberi amaran semasa membahaskan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 dan meminta kerajaan jangan mengambil harga AS$70 setong untuk merumuskan belanjawan negara.

Beliau berkata ketika itu harga minyak mentah Brent adalah AS$80 setong.

“Belanjawan ini dirumus berdasarkan harga minyak mentah Brent AS$72. Semalam harga minyak mentah Brent jatuh kepada AS$65.

“Tak sampai 10 hari andaian belanjawan 2019 sudah tidak relevan. Ini masalah serius kerana bagaimana kalau ia turun lagi sehingga AS$55?” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat.

Bekas menteri kewangan itu berkata cermat dan tidak keterlaluan mesti menjadi asas merangka belanjawan, dan perangka tidak boleh mengambil senario kes terbaik.

“Dalam keadaan sedemikian, di mana rakyat susah dan keperitan, harga komoditi jatuh dan kos sara hidup bertambah, sepatutnya belanjawan tingkatkan bantuan untuk rakyat.

Najib berkata semasa dia menjadi perdana menteri, harga minyak jatuh serendah AS$28 setong, tetapi negara tidak mengalami krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi kerana kecermatan kerajaan Barisan Nasional.

“Apakah implikasi ke atas hutang dan hasil negara? Saya harap tidak, tetapi jika harga jatuh lagi, kemungkinan senario yang banyak orang kata boleh berlaku,” tambahnya.

Najib sebelum ini meminta kerajaan untuk tidak menggunakan harga minyak mentah global AS$70 setong, mengatakan kerajaan BN terdahulu membentangkan belanjawan berdasarkan harga minyak mentah AS$52 setong.

Taraf kredit mungkin terkesan

Najib juga mengulangi amaran taraf kredit negara mungkin akan terkesan apabila agensi penarafan Moody’s merendahkan unjuran Petronas daripada stabil kepada negatif.

“Adakah ini petanda kepada ‘sovereign downgrade’? Saya takut ini adalah permulaan kerana taraf kredit Petronas lebih tinggi berbanding taraf nasional.

“Kalau taraf Petronas direndahkan, tak mustahil ‘sovereign rating’ kita juga boleh direndahkan,” katanya.

Sekiranya ia berlaku, Najib berkata pembayaran kos hutang akan meningkat secara mendadak.

Beliau berkata kerajaan PH selalu mengatakan hutang negara RM1 trilion, tetapi ini terbukti sebaliknya kerana akaun menunjukkan RM686 bilion.

“Peratusan hutang berbanding KDNK ialah 50.7% tetapi kalau defisit meningkat kepada 3.7% tahun ini dan 3.4% tahun depan – kalau defisit terus meningkat – hutang kerajaan akan meningkat kepada RM820 bilion.

“Ini bererti impian PH nak capai hutang RM1 trilion jadi kenyataan,” tambahnya.

Pengurangan bantuan

Najib juga tertanya mengapa kerajaan PH mengurangkan bantuan untuk rakyat, sedangkan perbelanjaan dalam belanjawan naik 10%.

“Dalam keadaan sedemikian, di mana rakyat susah dan keperitan, harga komoditi jatuh dan kos sara hidup bertabah, sepatutnya belanjawan tingkatkan bantuan untuk rakyat.

“Mengapa dikurangkan?” katanya.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) bangun bertanyakan apa yang dilakukan Najib dalam tempoh 10 tahun lalu. Dia mendapat sokongan RSN Rayer (PH-Jelutong). Najib bagaimanapun tidak mengizinkan celahan itu.

Najib turut menyentuh mengenai ramalan KDNK “terlalu optimis” iaitu sebanyak 4.9%, mengatakan ramai penganalisis berkata tidak mungkin.

“Saya tak jumpa seorang pun yang cakap 4.9%. Ramai kata 4.0%, 4.2%, ada juga yang kata lebih rendah daripada itu.

“Apakah implikasi ramalan yang terlalu optimis? Sepatutnya kita cermat dan meramalkan 4% atau 4.2%.

“Kalau naik kepada 4.5%, pencapaian anda jadi lebih baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.