Kes raja dadah Mexico ‘El Chapo’ mula dibicarakan di New York

Kes raja dadah Mexico ‘El Chapo’ mula dibicarakan di New York

Jambatan Brooklyn ditutup 2 kali sehari, sebagai langkah keselamatan untuk memberi laluan kepada Joaquin 'El Chapo' Guzman yang dikawal ketat pihak berkuasa, dibawa ke mahkamah.

Joaquin ‘El Chapo’ Guzman didakwa atas 17 pertuduhan jenayah, termasuk pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan bersubahat membunuh, sejak 3 dekad lalu. (Gambar AFP)
NEW YORK:
Perbicaraan raja dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman yang bermula hari ini menyebabkan lalu lintas di New York mengalami kesesakan.

Perbicaraan membabitkan lelaki di sebalik kartel dadah Sinaloa, sindiket pengedaran dadah terbesar dunia itu berlangsung di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

Lelaki berusia 61 tahun itu didakwa atas 17 pertuduhan jenayah, termasuk pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan bersubahat membunuh, sejak 3 dekad lalu.

Menurut agensi berita Xinhua, Guzman mungkin berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sejak bertahun lamanya, kartel Sinaloa mengedar sejumlah besar heroin, methamphetamine, ganja dan kokain dari Mexico ke Amerika Syarikat (AS), menurut pendakwa raya persekutuan.

Perbicaraan dijangka mengambil masa 4 bulan dan sepanjang tempoh itu, Jambatan Brooklyn akan ditutup 2 kali sehari, sebagai langkah keselamatan bagi memberi laluan kepada Guzman yang dikawal ketat, melalui jambatan berkenaan.

Tidak seperti penjenayah lain, Guzman ditahan bersendirian di Pusat Pemulihan Metropolitan di Manhattan sejak diekstradisi ke AS pada Januari 2017. Pusat pemulihan itu dianggap antara yang paling selamat.

Dia sebelum ini pernah melarikan diri dari penjara Mexico pada 2001 dan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.