Zuraida: Pengerusi PKR Perak bukan menteri, tak perlu letak jawatan UniSZA

Zuraida: Pengerusi PKR Perak bukan menteri, tak perlu letak jawatan UniSZA

Pakatan Harapan menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 menjanjikan autonomi dan membebaskan universiti awam daripada campur tangan politik.

Zuraida Kamaruddin berkata, keadaan Muhammad Nur Manuty tidak sama dengan Maszlee Malik yang memegang portfolio menteri dalam Kabinet. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty tidak perlu melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) seperti Menteri Pendidikan, Maszlee Malik kerana beliau bukan anggota Kabinet, kata Zuraida Kamaruddin.

Ketua Wanita PKR itu yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, keadaan Muhammad tidak sama dengan Maszlee yang menganggotai Kabinet.

“Saya berpandangan dia sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah okey. Hal ini kerana dia bukannya memegang jawatan dalam Kabinet, dia bukannya seorang menteri.

“Tetapi, dalam kes Maszlee Malik, beliau adalah seorang menteri. Kita sudah tegaskan, apabila menjadi seorang menteri, anda tidak menjawat tugas sebagai pengerusi lain,” katanya dalam sidang media di Ampang Jaya, hari ini.

Pelantikan Muhammad untuk mengetuai lembaga pengarah UniSZa mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September 2021, dikritik sesetengah pihak yang menyifatkannya melanggar prinsip autonomi universiti.

Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menasihatkan Maszlee segera melepaskan jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Katanya, kerajaan dan parti sudah membuat keputusan, tetapi ahli Parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk meletak jawatan.

Maszlee dilantik presiden UIA selama 3 tahun mulai September lalu, selepas diperkenankan Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Ahmad Shah bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak Julai lalu.

Pakatan Harapan menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 menjanjikan autonomi dan membebaskan universiti awam daripada campur tangan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.