Rafizi kecewa tiada pemilihan semula di Julau

Rafizi kecewa tiada pemilihan semula di Julau

Calon timbalan presiden PKR tidak boleh terima kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-undi digodam tidak mempunyai kesan kepada kewibawaan data.

PETALING JAYA:
Calom timbalan presiden PKR Rafizi Ramli kecewa dengan keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan semula di Julau, Sarawak.

Beliau berkata kenyataan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) yang berkata kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-undi digodam di Julau tidak mempunyai kesan kepada kewibawaan data adalah tidak masuk akal.

“Ia kenyataan yang 100% bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri.

“Kenyataan dan keputusan yang bertukar-tukar ini menyebabkan ahli parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

JPP pada Ahad mendakwa sistem e-undi di pusat mengundi di Julau gagal berfungsi kerana perbuatan terancang pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Datuk Rashid Din berkata perisian yang “menyerang” sistem dan 7 tablet e-undi sama seperti yang digunakan JPP pada pemilihan ini tetapi jenama berbeza.

Pada hari sama, seorang pegawai JPP ditangkap atas dakwaan melakukan “serangan siber” terhadap sistem e-undi di Julau tetapi kemudian dibebaskan daripada tahanan polis.

Rafizi berkata dia menerima keputusan parti mengenai status pemilihan di Julau tetapi menyeru pengendalian pemilihan parti perlu dibuat secara telus supaya ahli-ahli parti boleh menerima keputusan sepenuhnya.

Beliau berkata kontroversi mengenai keahlian di bahagian Julau dijadikan bahan mainan politik sehingga mencemarkan nama baik parti.

“Sedang fakta-faktanya telah dipersetujui berkali-kali di dalam Biro Politik dan turut melibatkan kehadiran JPP sendiri.

“JPP sendiri telah menyemak borang-borang keanggotaan dari bahagian Julau dan mendapati setakat semakan (1 dari 3 kotak borang keahlian), lebih 6,000 permohonan dari 13,000 permohonan mempunyai borang yang sah,” katanya.

Rafizi berkata keputusan JPP dilihat tidak adil kepada beliau, rakan-rakan lain dan seluruh ahli parti.

Beliau berkata JPP tidak boleh mencuci tangan mengenai masalah data termasuk data yang hilang dengan banyak di bahagian Pensiangan dan perlu menyelesaikannya dengan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.