
Pengarah Perubatan, Persatuan Bertindak Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch), Zarihah Mohd Zain turut memberi pilihan kepada pemilik restoran terbabit sama ada ingin menjual makanan ataupun rokok.
“Saya sarankan kepada mereka membuat pilihan untuk memilih menjual makanan ataupun rokok? Jika memilih menjual rokok, hentikan penjualan makanan di premis.
“Jika memilih untuk menjual makanan, golongan tua dan kanak-kanak boleh datang makan bersama keluarga dengan selesa tanpa menjejaskan kesihatan mereka daripada asap rokok,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, para peniaga mewakili restoran Cina, India dan Mamak seluruh negara membantah keputusan Putrajaya menguatkuasakan pengharaman merokok di outlet mereka tahun depan.
Mereka menyifatkan keputusan kerajaan itu dibuat secara sembarangan dan pelaksanaan peraturan seperti itu sepatutnya diserah kepada pemilik restoran.
Zarihah berkata beliau juga tidak faham mengapa Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura membantah langkah itu di Malaysia.
“Mengapa beliau tidak melakukan bantahan terhadap kerajaan Singapura di restoran mereka di sana?
“Kita kena fikir sebenarnya mereka adalah minoriti bukannya majoriti. Majoriti adalah rakyat Malaysia yang bukan perokok, perokok hanya 20% dan selebihnya 80% adalah golongan bukan perokok,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan sepatutnya diberikan kepada golongan remaja, kanak-kanak, perempuan mengandung dan orang tua yang sangat sensitif kepada kesan negatif asap rokok.
Sementara itu, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tiada undang-undang yang digubal bagi mengharamkan terus aktiviti menjual rokok, mahupun aktiviti merokok itu sendiri dalam kalangan rakyat.
“Bolehkah pihak berkuasa wujudkan undang-undang yang secara terus-menerus mengekang hak perokok ke tahap tiada peluang praktikal untuk merokok di kawasan awam sama sekali.
“Adakah proses kekangan kebebasan perokok ke tahap kemustahilan akan menjadikan undang-undang itu undang-undang yang tidak munasabah ataupun tidak rasional.
“Dan secara langsung mencabar kesahihan undang-undang itu di sisi Perlembagaan Persekutuan yang menjejaskan kepentingan perokok sebagai satu golongan rakyat Malaysia yang mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan?” katanya menerusi Facebook, semalam.