Kerajaan akan larang AirAsia kutip RM3 daripada penumpang

Kerajaan akan larang AirAsia kutip RM3 daripada penumpang

Mavcom berkata syarikat penerbangan akan dilarang mengenakan caj yang tidak perlu kepada penumpang.

Gambar Bernama.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa penerbangan akan menghentikan AirAsia daripada mengutip RM3 daripada penumpangnya yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata di bawah fasa kedua Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), syarikat penerbangan akan dilarang mengenakan caj yang tidak perlu kepada penumpang.

“Peraturan itu akan menetapkan caj (itu) boleh dikenakan oleh lapangan terbang dan syarikat penerbangan kepada pengguna,” kata pengerusi Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi.

Beliau berkata cadangan itu sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Peguam Negara, sebelum diwartakan.

Sejak 2014, AirAsia mengenakan “bayaran klia2” sebanyak RM3 ke atas semua penumpang yang berlepas dari terminal penerbangan tambang rendah.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata caj itu perlu untuk menampung kos operasi di klia2, termasuk caj penggunaan kemudahan di lapangan terbang tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.