Banjir: Kementerian WP timbang denda kontraktor pembinaan punca parit tersumbat

Banjir: Kementerian WP timbang denda kontraktor pembinaan punca parit tersumbat

DBKL akan menjalankan pengawasan dan pengawalan ke atas tapak pembinaan agar masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dapat ditangani.

Khalid berkata, sistem perparitan juga dinaik tarif, tetapi akan mengambil masa kerana melibatkan kerja-kerja pembinaan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Wilayah Persekutuan akan memikirkan tindakan terbaik, termasuk mengenakan denda ke atas kontraktor jika didapati kerja pembinaan mereka menghalang atau menyekat saliran air.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya akan menjalankan pengawasan dan pengawalan lebih teliti ke atas tapak pembinaan agar masalah banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur dapat ditangani.

“Masalah kita, kerana ada banyak projek pembangunan yang berjalan dan sebahagian daripadanya sukar untuk dikawal 24 jam,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Kuala Lumpur berikutan hujan lebat di laluan utama pada jam 5 petang semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood dilaporkan berkata, antara laluan yang dinaiki air adalah terowong di Jalan Tun Razak, Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.

Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, tentang langkah menetapkan kontraktor yang kerja pembinaan mereka menjadi punca perparitan tersumbat menguruskan sendiri masalah itu.

Beliau berkata, sistem perparitan juga telah dinaik tarif, tetapi proses berkenaan akan mengambil masa kerana ia melibatkan kerja-kerja pembinaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, berita dan gambar mengenai terowong Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) ditenggelami air semalam adalah tidak benar.

Katanya, pihak Smart akan mengeluarkan kenyataan mengenai banjir yang dikatakan berlaku dalam terowong berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.