Adun PKR gesa beri autonomi lebih luas kepada negeri

Adun PKR gesa beri autonomi lebih luas kepada negeri

Gooi Hsiao Leung berkata Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedaulatan setiap negeri tetapi hakikatnya struktur kawalan terlalu diikat kerajaan pusat.

Gooi Hsiao Leung. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Seorang Adun Pulau Pinang menggesa kawalan kerajaan persekutuan dianjalkan untuk kerajaan-kerajaan negeri menguruskan hal ehwal masing-masing, termasuk pendidikan dan polis.

Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) berkata keadaan sedia ada menyekat autonomi negeri dan pemberian wang pembayar cukai.

Beliau berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedaulatan setiap negeri, hakikatnya berbeza kerana struktur kawalan terlalu diikat kerajaan pusat.

“Dengan memberikan autonomi lebih luas kepada kerajaan negeri, kebebasan dan keanjalan membuat keputusan yang lebih luas di peringkat negeri, saya percaya kita mampu membangun dan maju dengan lebih pantas.

“Kami berada di tempat yang lebih baik untuk tahu apa yang diperlukan di negeri kami, berbanding birokrat yang berada jauh di Putrajaya,” katanya semasa membahaskan rang undang-undang perbekalan 2019 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Gooi berkata peruntukan mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dikaji dan dipinda supaya autonomi yang lebih luas diberikan dalam bidang pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan polis.

Mengambil contoh Balai Polis Bukit Tengah, Gooi berkata kekurangan dana daripada persekutuan menyebabkan ia tidak mempunyai bilangan anggota yang mencukupi utuk menjaga kawasan yang besar. Beliau juga tidak berpuas hati dengan keadaan balai polis yang tidak dijaga dengan baik kerana kekurangan dana.

Gooi berkata keadaan sekarang menghalang warga Pulau Pinang melantik pegawai kerajaan tempatan.

Beliau menggesa cara dana persekutuan diagihkan perlu dilihat semula kerana dikatakan ia tidak diagihkan secara adil.

Gooi memberikan contoh Pulau Pinang menerima 3% daripada hasil cukai yang dikutip daripada negeri itu antara 2001 hingga 2008.

Beliau berkata belanjawan keseluruhan 13 negeri perlu dilihat kerana ia membentuk 6% daripada belanjawan persekutuan 2013 tetapi menurun kepada 0.02% dalam belanjawan persekutuan 2018.

Gooi memetik artikel yang tulis oleh Zairil Khir Johari (DAP-Tanjung Bungah) pada 2014, di mana Zairil mempersoalkan kerajaan negeri hanya boleh berbelanja kurang daripada separuh peratus daripada belanjawan negara.

Beliau berkata Zairil juga menyatakan kerajaan Pulau Pinang beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil daripada belanjawan beberapa universiti awam.

Gooi seterusnya menggesa kerajaan Pulau Pinang memulakan rundingan meminta kuasa diturunkan kepada negeri-negeri memandangkan kerajaan persekutuan hari ini lebih mesra dan bersimpati dengan keadaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.