
Pemikir ternama, Dr Chandra Muzaffar berkata, permohonan maaf yang dibuat Wan Saiful Wan Jan selaku pengerusi PTPTN yang kini berdepan masalah tanggungan hutang peminjam ingkar berjumlah berpuluh bilion ringgit itu wajar dipuji kerana beliau merupakan pemegang kuasa.
“Bila orang berkuasa mengakui kelemahan sendiri, mereka bukan sahaja memperkukuh sifat merendah diri yang mencari ciri budaya politik negara, tetapi turut meningkatkan kepercayaan awam kepada pihak berkuasa,” kata Chandra, yang banyak menulis tentang masyarakat dan politik Malaysia, kepada FMT.
Pemohonan maaf Wan Saiful semalam berlaku berikutan pengumuman Belanjawan 2019 meminta majikan membuat potongan gaji ke atas peminjam PTPTN yang mendapat gaji paling kurang RM1,000 sebulan.
Pengumuman oleh menteri kewangan itu berlawanan dengan janji manifesto Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum lepas bahawa peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan boleh menangguhkan bayaran balik pinjaman mereka.
Kini janji itu hanya terpakai ke atas peminjam berumur 60 tahun ke atas. Hanya 350 orang daripada puluhan ribu pinjaman lain menyaksikan pinjaman mereka dilupus kira.
Wan Saiful berkata, beliau mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan itu kerana beliau merupakan orang yang menulis cadangan berkaitan PTPTN.
“Saya mohon maaf daripada saudara-saudari, dan berjanji akan usahakan agar paling kurang, prinsip asal, iaitu tidak mahu membebankan anak muda berpendapatan rendah tetap dapat dilaksanakan,” kata bekas ketua sebuah badan pemikir itu dalam ucapan terbukanya kepada ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), semalam.
Beliau juga menggesa pemimpin kerajaan lain mengakui kegagalan sendiri bagi membolehkan mereka melangkah ke depan.
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann mendapati kenyataan Wan Saiful itu sesuatu yang “menyegarkan”.
“Ini lebih baik daripada membuat pelbagai alasan atau menyalahkan kerajaan lepas,” katanya, tetapi menambah bahawa kegagalan PH menunaikan banyak janji pilihan rayanya adalah mengecewakan.
“Saya harap kerajaan akan mencari jalan bagi membantu peminjam PTPTN pada masa depan apabila ekonomi negara bertambah baik.
Bekas pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun tidak terlalu gembira dengan permohonan maaf Wan Saiful, maupun gesaan beliau supaya pemimpin kerajaan bersikap merendah diri
Shamsul berkata, janji PH sukar dilaksanakan dan isu itu tidak lagi berbangkit.
“Berjanji. Gagal tunaikan. Minta maaf. Mudah memerintah jika begini. Kemudian salahkan Barisan Nasional atas kegagalan sendiri, sedangkan mereka lemah,” kata pemimpin Umno itu.
Katanya, walaupun meminta maaf itu baik, tetapi mereka yang mengundi kerajaan sekarang jelas tertipu.
Penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya mengalu-alukan kenyataan Wan Saiful, tetapi mengingatkan bahawa kredibiliti PH boleh dipersoalkan beberapa tahun akan datang apabila negara mengadakan pilihan raya kelak.
Katanya, di Jepun dan Korea Selatan, pemimpin yang gagal memenuhi janji bukan sahaja akan memnta maaf, tetapi juga meletakkan jawatan.
“Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab menggubal sesebuah manifesto supaya bersikap lebih sensitif dan realistik.
“Janji yang gagal ditunaikan akan menimbulkan kekecewaan dan hilang kepercayaan dalam kalangan pengundi,” katanya.