
Dalam pemilihan semula di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau hari ini, Rafizi yang juga naib presiden memperolehi 624 undi, manakala Azmin yang merupakan penyandang jawatan timbalan presiden mendapat 621 undi.
Keputusan itu diumumkan Ketua Pengawas Pusat Pemilihan PKR Bahagian Keningau, Suraya Muizzudin pada 6.15 petang tadi.
Proses pemilihan semula PKR bahagian itu yang menggunakan sistem e-undi, bermula 9 pagi dan berakhir 4.15 petang.
Seramai 2,735 daripada 6,441 ahli PKR Bahagian Keningau keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pemilihan semula itu yang berjalan lancar.
Pemilihan semula PKR Bahagian Keningau turut menyaksikan Sangkar Rasam menang jawatan ketua bahagian dalam pertandingan 3 penjuru dengan mendapat 816 undi.
Sangkar menewaskan Phuket Yadiloh @ Johari Tahir yang mendapat 453 undi dan Haslina Abin Kassim (330 undi).
Keningau ialah satu daripada 3 bahagian PKR di Sabah yang mengadakan pemilihan semula berikutan keputusan pemilihan pada 3 dan 4 November lalu ditangguhkan.
Dua lagi bahagian PKR, iaitu Tawau dan Pensiangan akan menjalankan proses pengundian semula esok.