Pemilihan PKR: Azmin dahului Rafizi di Sarawak

Pemilihan PKR: Azmin dahului Rafizi di Sarawak

Keputusan tidak rasmi setakat 5 petang tadi menunjukkan Azmin menang di 10 daripada 13 bahagian yang selesai menjalankan proses pengiraan undi, dengan kelebihan 1,000 undi.

Keputusan tidak rasmi di seluruh negara menunjukkan Azmin Ali mendahului Rafizi dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR dengan kelebihan 3,992 undi.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR menerusi pemilihan di Sarawak hari ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Azmin menang di 16 daripada 21 bahagian di Sarawak, dengan kelebihan 1,350 undi.

Azmin memperolehi 2,858 undi, sementara Rafizi meraih 1,508 undi dalam proses pengundian fasa pertama di Sarawak hari ini.

Sebanyak 22 bahagian di Sarawak mengadakan pemilihan hari ini, manakala baki 7 bahagian – Santubong, Petra Jaya, Stampin, Mambong, Sri Aman, Sarikei dan Sibu akan dijalankan esok.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menggantung keputusan pemilihan di Julau, selepas sistem e-undi di pusat mengundi bahagian itu gagal berfungsi akibat tablet digodam dengan perisian intip.

Azmin menang di PKR Bahagian Mas Gading, Bandar Kuching, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Lubok Antu, Betong, Saratok, Kanowit, Lanang, Mukah, Selangau, Hulu Rajang, Bintulu, Baram dan Lawas.

Rafizi pula menang di Serian, Kapit, Sibuti, Miri dan Limbang.

Berdasarkan maklumat diterima FMT, kurang 50% ahli PKR keluar mengundi setakat 1.40 petang tadi.

Kawasan yang menjadi tumpuan dalam pemilihan hari ini ialah bahagian Julau yang mempunyai keahlian teramai, iaitu 13,544 orang, tetapi peratusan keluar mengundi paling rendah, iaitu 5.38% setakat 1.40 petang.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menang tanpa bertanding jawatan ketua Bahagian Lawas.

Keputusan tidak rasmi di seluruh negara menunjukkan Azmin mendahului saingan merebut jawatan timbalan presiden PKR dengan kelebihan 3,992 undi berbanding Rafizi.

Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan Azmin memperoleh 60,075 undi berbanding 56,083 undi yang diraih Rafizi selepas pemilihan PKR diadakan di 13 negeri.

Esok, PKR Bahagian Jelebu di Negeri Sembilan, Kuala Selangor di Selangor serta Tawau dan Pensiangan di Sabah akan mengadakan pemilihan semula.

Tidak ketinggalan ialah 6 bahagian di Melaka – Masjid Tanah, Alor Gajah, Jasin, Kota Melaka, Bukit Katil dan Tangga Batu juga akan mengadakan pengundian semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.