Peguam bidas ‘pertandingan’ hukuman sebat negeri mana lebih Islam

Peguam bidas ‘pertandingan’ hukuman sebat negeri mana lebih Islam

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya menyifatkan pelaksanaan hukuman syariah, termasuk sebat yang berbeza antara setiap negeri sebagai tidak masuk akal.

Latheefa Koya mempersoalkan adakah hukuman sebat menjadi lebih adil jika pelaksanaannya disaksikan lebih ramai orang awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam hari ini membidas pelaksanaan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah ibarat pertandingan untuk menunjukkan negeri mana lebih Islam.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, berkata pelaksanaan hukum syariah berdasarkan enakmen setiap negeri jelas menunjukkan kecelaruan dalam proses mendapatkan perbicaraan adil.

“Pelaksanaan hukuman syariah tidak sama rata dari satu negeri ke satu negeri. Hari ini contohnya, saya di Johor boleh kena hukuman sebat, esoknya di negeri lain kena hukuman lain. Ini sahaja sudah tidak adil.

“Sebab itu kita lihat isu ini dah jadi satu pertandingan. Nak tunjuk siapa lebih Islam, pergi buat kat stadium. Besok, kita buat kat Bukit Jalil,” katanya dalam forum awam bertajuk “Rahmatan Lil Alamin: Pendekatan Terhadap Akses kepada Keadilan dan Isu Sebatan” hari ini.

Beliau menjawab soalan hadirin mengenai siapa yang berhak menentukan lokasi sebatan dan berapa ramai yang boleh menyaksikan hukuman itu dilaksanakan.

Latheefa menyifatkan pelaksanaan hukuman syariah, termasuk sebat yang berbeza antara setiap negeri sebagai tidak masuk akal.

“Bahagian mana yang Islamik? Tak ada.

“Jadi, adakah lebih ramai orang (saksikan hukuman sebat), ianya jadi lebih adil atau tidak?

“Ini bermakna, ianya bukan hukuman yang ditentukan dalam al-Quran dan sebagainya. Bagi saya, ianya adalah hukuman manusia yang dibuat secara sesuka hati.”

Pada 3 September lalu, 2 wanita berusia 32 dan 22 tahun masing-masing disebat 6 kali kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis dalam sebuah kereta di Dungun, pada 8 April lalu.

Mereka turut didenda RM3,300 atau 4 bulan penjara, jika gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Lebih 100 orang berada di galeri awam Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.