DBKL rugi lebih RM18 juta kerana tunggakan sewa

DBKL rugi lebih RM18 juta kerana tunggakan sewa

Jumlah itu melibatkan 26,860 penyewa PPR dan PA yang gagal membayar sewa bulanan mereka sebanyak RM124.

DBKL menasihati penyewa supaya membayar tunggakan sewa masing-masing dengan segera bagi memastikan perjanjian sewaan tidak dibatalkan.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerugian sebanyak RM18,137,507 berikutan tunggakan sewa di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sehingga 31 Okt tahun ini.

Dalam satu kenyataan semalam, DBKL berkata, jumlah itu melibatkan 26,860 penyewa PPR dan PA yang gagal membayar sewa bulanan mereka sebanyak RM124.

Kenyataan itu turut menasihati penyewa supaya membayar tunggakan sewa masing-masing dengan segera bagi memastikan perjanjian sewaan mereka tidak dibatalkan.

Sekiranya perjanjian itu ditamatkan, maka penyewa akan diminta mengosongkan unit sewaan terbabit, katanya.

Sementara itu, pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, bermula 1 Jan 2019, permohonan pengiklanan papan iklan dan unipole di sekitar bandar raya akan dijalankan secara tender terbuka.

Katanya, oleh sebab itu permohonan lesen bagi papan iklan dan unipole baru akan ditangguhkan hingga tahun depan.

Anwar berkata, ini bagi memastikan DBKL juga boleh mengutip hasil melalui fi lesen iklan dan pendapatan sewaan.

“Kami berharap dengan langkah ini, hasil DBKL akan bertambah sebanyak 15% tahun depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.