
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Prof Barjoyai Bardai berkata, selepas ini kerajaan tidak akan berhutang dengan China, tetapi akan berhutang dengan Jepun.
“Ganti bon China kepada bon Jepun,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, tawaran jaminan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia akan memberi banyak faedah, terutama dalam mengurangkan beban kewangan dan pembangunan.
Katanya, bon termurah dengan kadar faedah hanya 0.65% adalah lebih baik berbanding hutang lama yang terpaksa ditanggung dengan faedah sehingga 7%.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, bagaimanapun terdapat risiko berkait penerbitan bon Samurai kerana Malaysia akan meminjam dalam mata wang Yen.
“Mata wang Yen lebih kuat daripada mata wang China. Kemungkinan mata wang itu meningkat berbanding ringgit adalah lebih besar.
“Walaupun kita hanya membayar 0.65% faedah, tapi kita mungkin kerugian dalam tukaran mata wang,” katanya.
Menurutnya, perkara ini pernah berlaku semasa Dr Mahathir memerintah negara pada tahun 90-an apabila meminjam bon daripada Jepun.
“Ini pernah berlaku dulu kita pernah ambil pinjaman dalam Yen dan kemudian nilai Yen meningkat lebih daripada 50%, jadi hutang kita pun meningkat lebih daripada 50%,” katanya.
Barjoyai bagaimanapun berkata, antara kebaikan meminjam bon daripada Jepun berbanding China adalah dari segi syaratnya yang lebih terkini.
“Mengambil kira perkembangan terkini, berbanding bon China yang dikeluarkan dengan perjanjian yang agak berat sebelah dengan syarat yang tidak begitu adil kepada Malaysia,” katanya.
Kerajaan Jepun menawarkan jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) untuk tempoh 10 tahun.
Penerbitan bon dalam denominasi yen itu dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon indikatif 0.65% dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.
Malaysia menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman yen sewaktu pertemuan pertama Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, Jun lalu dalam usaha menangani hutang kerajaan.