
Clare yang berada di Hong Kong minggu ini untuk mempromosi buku beliau, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” berkata, beliau percaya “urus janji rahsia” dibuat di Singapura, salah sebuah negara yang kini turut menyiasat dana tersebut.
“Saya fikir masih ada rahsia tentang 1MDB yang akan muncul di Singapura, dan mungkin rakyat Malaysia perlu mencungkilnya keluar,” katanya seperti dilaporkan akhbar South China Morning Post (SCMP) pada majlis Kelab Wartawan Asing (FCC) di Hong Kong.
Beliau juga mendakwa 1MDB akan “menghulurkan kepalanya di Hong Kong dalam masa terdekat”.
“Banyak wang yang dicuri oleh pasangan pemimpin Malaysia berada di Hong Kong. Saya tidak tahu bagaimana ia mahu dirahsiakan lagi” katanya dalam laporan akhbar itu.
Clare merujuk kepada dakwaan bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, terlibat dalam penggelapan wang berjumlah beberapa bilion dolar dari 1MDB.
Najib kita berhadapan 38 pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
Rosmah pula berhadapan pertuduhan pengubahan wang dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri.
1MDB merupakan titik pusat satu skandal global melibatkan dakwaan penggelapan dan pengubahan wang yang mencetuskan penyiasatan di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland.
Jun lepas, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan saman perlucuthakan bagi merampas aset bernilai AS$540 juta. Aset ini termasuklah lukisan, barang kemas, sebuah kapal layar berharga AS$165 juta, dan hak filem yang dibeli dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.
Ahli perniagaan Low Tek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan 2 bekas pegawai bank dari Goldman Sachs, baru-baru ini didakwa di mahkamah AS berkaitan kes 1MDB.
Salah seorang bekas pegawai bank tersebut, Roger Ng dikatakan mencabar ekstradisi ke AS di mana beliau akan berhadapan dakwaan pengubahan wang dan rasuah berkaitan dana pelaburan kerajaan itu.
Ng, yang merupakan ketua bahagian jualan dan perdagangan Goldman Sachs bagi Asia Tenggara ketika beliau meletakkan jawatan pada April 2014, dikatakan memainkan peranan penting dalam menjayakan urus niaga bon yang diaturkan oleh Goldman untuk 1MDB pada Mei 2012.
Dalam pada itu, keberadaan Jho Low masih tidak diketahui. Ahli perniagaan itu, yang sebelum ini berkata, beliau melakukan kerja-kerja perundingan bagi pihak 1MDB, disifatkan oleh sebilangan penyiasat antarbangsa sebagai dalang di sebalik beberapa skim melibatkan dana yang hilang itu.
Clare berkata, beliau percaya Jho Low menerima nasihat daripada ayahnya, Low Hock Peng, yang berhadapan waran tangkap pada Ogos lepas.
“Ayah Jho Low merupakan ahli perniagaan dengan sejarah turun naik dan barangkali…menghabiskan masa berdekad-dekad untuk memahami cara mengurus sistem luar pesisir,” kata Clare.
Menyifatkannya sebagai “perniagaan keluarga”, beliau mendakwa kakak Jho Low, yang didakwa berpangkalan di Singapura merupakan “pakar menubuhkan perbadanan luar pesisir”, sementara adik beliau juga terlibat dalam “perniagaan” itu.