Bagi mereka yang sanggup mengembara demi secawan kopi

Bagi mereka yang sanggup mengembara demi secawan kopi

Jika anda seorang peminat kopi dan pada masa sama seorang pengembara, kami ada senarai kopi yang mesti cuba.

Secawan kopi yang beraroma pekat pasti akan menjadikan hari anda lebih ceria serta sedar sepanjang masa. Apatah lagi di Malaysia, pengaruh kopi semakin besar dan generasi muda dilihat lebih memilih kopi berbanding teh sebagai minuman ‘gaya hidup’.

Ia boleh dilihat dengan pertambahan pelbagai jenama kafe kopi selain produk kopi itu sendiri.

Itu urusan dalam negara, bagaimana dengan mereka yang suka merasa kopi di luar negara? Misalnya, apabila kita ke Indonesia, pastinya kita tidak melepaskan peluang menikmati kopi luwak, manakala pelancong ke India pula mahu mencuba ‘filter coffee’ mereka.

Jika anda seorang peminat kopi dan pada masa sama seorang pengembara, kami ada senarai kopi yang mesti cuba di negara orang.

Mari kita lihat satu per satu:

Vienna, Austria
Kalau Eropah dalam ‘bucket list’ anda, jangan lupa kunjungi Vienna, ibu kota Austria yang penuh dengan lambakan kedai kopi tradisional dan moden. Diiktiraf sebagai destinasi warisan oleh UNESCO pada 2011, antara cafe terkemuka di sini ialah Café Schwarzenberg yang diasaskan pada awal abad ke-19. Kedai kopi yang paling ‘vintage’ di sini pula termasuk Café Central dan Café Prückel. Namun bagi mereka yang sukakan elemen kontemporari, cari kafe Sassmünd Kaffeebar, Zweitbester dan Waldemar.

Ho Chi Minh City, Vietnam
Kopi di negara ini diperkenalkan oleh kolonial Inggeris pada abad ke-19. Warga Vietnam ada cara sendiri menikmati kopi antaranya mencampur kuning telur dan dadih. Sama seperti Malaysia, kopi mereka juga disediakan dalam gelas menggunakan susu isian penuh. Shin Coffee di Saigon, salah satu tempat wajib dikunjungi pelancong penggemar kopi di Vietnam. Selain itu, The Coffee Ship juga pilihan lain. Rumah apung, Kenh Te Canal menawarkan pengalaman kopi yang unik sementara kedai kopi Du Mien Garden Coffee, Yoko Café, The Workshop Specialty Coffee dan The Snap Café juga pilihan yang tidak menghampakan.

Milan, Italy
Antara kulinari yang paling gah ialah di Itali, inilah juga kota bekas CEO Starbucks, Howard Schultz. Antara kafe yang harus cuba di sini ialah Orsonero, Marchesi, Taglio, Caffé Napoli dan Moleskine Café. Kopi-kopi di kota ini terkenal kerana berperasa mewah dan asli. Bar kopi yang popular di sini ialah seperti Pavé, Bar Luce dan Caffè Baglioni.

São Paulo, Brazil
Brazil adalah pengeluar kopi terbesar sejak 150 tahun yang lalu. Sangat terkenal untuk variasi Arabica dan Robusta ternyata São Paulo adalah pusat kepada kedai kopi panggang. Kalau anda berpeluang ke sini, jangan lupa kunjungi Sofá Café, Café Floresta dan The Little Coffee Shop serta kafe kontemporari seperti Beluga dan Octavio. Coffee Lab juga menawarkan pengalaman kopi yang ‘kaw’.

Istanbul, Turkey
Cakap pasal kopi yang kuat, manis dan hitam, inilah tempatnya. Dikisar halus dan kopi tanpa tapisan dihidang dalam cawan porselin yang dikenali fincan. Seunik hidangannya, anda kenalah nikmatinya di kafe seperti Pierre Loti Café, Fazil Bey’s Turkish Coffee House, The House Café, Java Studio Istanbul dan Midpoint Café. Kafe Galata Konak menawarkan pemandangan yang hebat sambil mengirup kopi.

Jakarta, Indonesia
Mana boleh tak sebut nama negara jiran kita. Sama seperti Malaysia, kopi minuman millenial generasi muda, sekaligus merancakkan industri itu. Antara varian yang terkenal ialah Java, Sumatran, Toraja dan Gayo, tidak ketinggalan kopi luwak atau kopi musang yang kebetulan termahal di dunia. Lucky Cat Coffee dan Kitchen menawarkan pengalaman kopi yang aman manakala Trafique Coffee dan Bakoel Koffie pula lebih vintage. Selain itu kafe Anomali, Coffee Grounds ada keunikannya sendiri. Kedai kopi tepi jalan, warung juga boleh dicuba. Alah, macam tak biasa pula…..

Seattle, Washington, AS
Pusat untuk kafe Starbucks pertama di dunia, mana boleh terlepas dari senarai! Cubalah Elm Coffee Roasters, Lighthouse Roasters, Analog Coffee atau Victrola Coffee Roasters. Bagi latte “Instagrammable” pula Moore Coffee Shop menawarkan seni penyampaian yang unik. Milstead & Co, Café Allegro dan Seattle Coffee Works’ Express Bar antara yang disyorkan.

Selain tempat yang dinyatakan di atas, turut tersenarai sebagai destinasi kopi ialah Cuba, Portugal, Finland dan Colombia.

Anda pernah merasa kopi terbaik di mana-mana selain nama yang dinyatakan di atas? Kongsilah bersama kami!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.