Presiden bola sepak Perak letak jawatan

Presiden bola sepak Perak letak jawatan

Hasnul Zulkarnain yang dikecam penyokong negeri dan peminat sukan kerana tidak menghormati Piala Malaysia meletak jawatan untuk tumpu kepada politik.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang dikecam penyokong negeri dan peminat sukan bola sepak kerana tidak menghormati Piala Malaysia mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden hari ini.

Hasnul berkata dia meletakkan jawatan kerana mahu tumpu kepada kerjaya politik dan tanggungjawabnya sebagai seorang exco kerajaan Perak, selain desakan para penyokong negeri.

“Saya tidak nafikan ada beberapa peratus,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook.

Hasnul dikecam penyokong pasukan Perak selepas gambarnya dengan Piala Malaysia dalam keadaan yang dikatakan tidak sepatutnya tular di media sosial.

Penyokong turut mempersoalkan gambar beliau membawa Piala Malaysia menaiki sebuah bas mengelilingi bandar Parit Buntar tanpa kehadiran para pemain pasukan Perak.

Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu 4-1 pada 28 Oktober lalu.

Hasnul berkata surat peletakan jawatan akan dihantar kepada Pafa dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.