
Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kebanyakan orang tidak mahu melihat naratif politik yang hanya didominasi PH.
“Rakyat mahu semak dan imbang dalam pentadbiran negara,” katanya kepada FMT.
“Najib bukanlah pembangkang terkuat kerana dia terpalit banyak isu dan dakwaan mahkamah, dan sering mengaitkan pembohongan dan fitnah PH dengan kekalahan Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.
“Tetapi sekurang-kurangnya ada suara berterusan untuk menyatakan pandangannya, walaupun ia tidak meyakinkan.”
Awang mengulas sembang santai Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, di mana bekas pemimpin itu memberitahu kepada kira-kira 1,000 orang ramai yang hadir bahawa pembohongan dan kepalsuan menyebabkan kekalahannya pada PRU14.
Beliau berkata PH menyalahkannya dan 1MDB berhubung kepincangan dalam negara dan menyelar kerajaan baharu kerana gagal memenuhi janji pilihan rayanya dengan memberi contoh pinjaman pengajian tinggi dan janji menurunkan harga petrol kepada RM1.50.
Bagaimanapun, Najib berkata 1MDB bukanlah faktor kekalahan BN, seperti yang didakwa Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Nazri Aziz.
Awang berkata Najib mempunyai kebebasan bersuara, sambil menambah masyarakat boleh menilai sendiri apa yang dikatakannya.
Beliau berpendapat bekas perdana menteri itu mungkin cuba untuk tetap relevan selepas kejatuhannya.
“Najib tahu jika dia tidak bercakap di media, dia akan dilupakan dengan cepat, lebih-lebih lagi banyak tuduhan dikenakan terhadapanya.
“Inilah sebabnya mengapa dia merasakan dia perlu terus wujud dengan memberi pelbagai pandangan mengenai isu semasa yang mempengaruhi negara.”
Beliau berkata Najib mungkin pernah silap sebagai pemimpin pembangkang, peranan yang kini dipegang Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sekurang-kurangnya Najib konsisten dalam pandangannya, tambahnya.
Mengenai sambutan yang menggalakkan pada sesi petang Sabtu itu, Awang berkata ini menunjukkan Najib masih mempunyai pengikut besar walaupun ada yang meninggalkannya selepas pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa orang yang hadir pada sesi itu sememangnya ingin tahu bagaimana kehidupan Najib selepas kehilangan kuasa.