
Patel yang juga dikenali sebagai “Iron Man of India”, boleh diibaratkan “Iron Chancellor” kurun ke-19 empayar Jerman iaitu Otto von Bismarck. Beliau juga disanjung kerana berjaya menyatukan kira-kira 550 negeri ketika India memperolehi kemerdekaannya daripada Britain pada 1947.
Satu laman sesawang yang didedikasikan untuk projek “Statue of Unity” menyebut “dunia akan mengenang tugu peringatan itu berkurun lamanya dan ia akan menjadi kebanggaan setiap rakyat India.”
Perdana Menteri Narendra Modi merasmikan patung setinggi 182 meter itu yang terletak di negeri barat Gujarat pada Rabu lepas iaitu ulang tahun kelahiran ke-143 Patel.
Dilahirkan di Gujarat, Patel adalah tokoh utama dalam gerakan kebebasan India yang diterajui Mahatma Gandhi, yang juga berasal dari negeri yang sama.
Projek yang dianggarkan menelan kos $340 juta itu dicetuskan pada 2013 ketika Modi menyandang jawatan ketua menteri Gujarat.
Pembinaan patung itu turut mencetuskan kontroversi termasuk penglibatan begitu ramai pekerja Cina kerana projek itu sebelum ini dianggap projek “nasionalis”.
Kos pembinaannya yang begitu besar di rantau di mana jutaan rakyat hidup dalam kepapaan sudah tentu menimbulkan banyak persoalan.
Patel berkhidmat sebagai menteri dalam negeri di bawah perdana menteri India yang pertama, Jawaharlal Nehru.
Parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata Party (BJP) menggunakan legasi Patel untuk mengatasi pencapaian keluarga politik India yang tersohor, Nehru-Gandhi.
“Setiap rakyat India kesal Sardar Patel tidak diangkat menjadi perdana menteri pertama. Seandainya beliau menjadi perdana menteri pertama, nasib negara ini sudah tentu berbeza, “ kata Modi di masa lampau.
Menurut laporan media tempatan, bahagian dalam patung itu diperbuat daripada ribuan tan konkrit bertetulang dan permukaannya dilitupi dengan 553 kepingan gangsa yang diimport dari China.
Penglibatan China dalam projek ini membuatkan parti pembangkang Kongres menjadikannya bahan jenaka dengan memanggilnya “Dibuat di China”
Seorang pemimpin Kongres baru-baru ini mengedarkan video pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan.
Syarikat gergasi kejuruteraan dan pembinaan, L&T memenangi kontrak pembinaan patung itu pada Disember 2014 dan menyiapkan dalam tempoh 42 bulan.
Menurut media India, kira-kira 3,400 orang buruh dan 250 orang jurutera bekerja di tapak pembinaan itu.
Mendirikan tugu peringatan untuk menghargai ikon mereka adalah biasa bagi parti politik di India. Landskap negara ini sememangnya penuh dengan tugu peringatan untuk menghargai tokoh politik, tokoh agama dan wira.
Kebanyakan projek itu melibatkan pembiayaan kerajaan negeri serta naungan parti politik.
Statue of Unity yang terletak di daerah Narmada sememangnya lebih tinggi berbanding patung yang terkemuka lainnya seperti Spring Temple Buddha di China setinggi 153 meter, Ushiku Daibutsu setinggi 120 meter di Jepun dan Statue of Liberty setinggi 93 meter di Amerika Syarikat.
Kerajaan negeri Gujarat menjangkakan tugu peringatan ini yang turut mengandungi muzium dan hotel dapat menarik lebih daripada 5 juta pengunjung setahun.