Majlis ekonomi Melayu bimbang falsafah pasaran bebas kerajaan

Majlis ekonomi Melayu bimbang falsafah pasaran bebas kerajaan

MTEM berkata kenyataan menteri seolah-olah menggambarkan niat untuk melepaskan pegangan kerajaan dalam perniagaan yang dimiliki kerajaan.

Ahmad Yazid Othman. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyuarakan kebimbangan terhadap Belanjawan 2019 yang didakwanya meminggirkan banyak kumpulan masyarakat serta falsafah pasaran bebas tanpa batasan yang dilaungkan pemimpin kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Yazid Othman berkata secara dasarnya Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Jumaat lalu adalah baik dan positif kerana menumpukan kepada golongan B40, namun pada masa sama turut memaparkan kelemahan membabitkan golongan seperti rakyat luar bandar, nelayan dan petani.

“MTEM juga tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan yang terbaik tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perniagaan. Ini seolah-olah menggambarkan niat beliau untuk akhirnya melepaskan pegangan kerajaan dalam perniagaan yang dimiliki pihak kerajaan.

“Jika ini terjadi, satu alat kemajuan ekonomi Bumiputera yang paling berkesan akan hilang untuk selamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MTEM juga kecewa dengan peruntukan kecil untuk agenda ekonomi Bumiputera yang cuma kira-kira RM3.6 bilion berbanding jumlah besar Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion, katanya.

Ahmad Yazid berkata, isu keselamatan dan apa disifatkannya sebagai “kedaulatan” makanan yang lama diperjuangkan MTEM juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Tiada gerakan padu untuk mewujudkan kembali Lembaga Padi & Beras Negara (LPN) walaupun MTEM dan Padi Rescue telah memberi hujah mengenai kepentingan LPN kepada (jaminan) keselamatan bekalan makanan negara.

“Peruntukan kerajaan untuk sektor pertanian dan perikanan tertumpu kepada pembangunan industri seperti penyelidikan untuk benih, automasi dan latihan industri yang tidak dapat dimanfaatkan oleh petani dan nelayan secara terus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.