Lebih 2,000 pelarian Rohingya akan pulang ke Myanmar

Lebih 2,000 pelarian Rohingya akan pulang ke Myanmar

Rumah, klinik kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya serta kaunter khas sedia menyambut ketibaan 2,260 pelarian mulai tengah bulan depan.

Keadaan pelarian Rohingnya yang hidup dalam serba kekurangan di Kem Pelarian Hakimpara di Ukhia, Cox’s Bazar, Bangladesh. (Bernama pic)
YANGON:
Mulai 15 Disember ini, Myanmar akan menerima kumpulan pertama 2,260 pelarian, menurut Global New Light of Myanmar memetik pihak berkuasa tempatan Rakhine di Maungtaw, hari ini.

Rumah, klinik kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya serta kaunter khas sedia menyambut ketibaan pelarian yang sebelum ini berlindung di Bangladesh.

Menurut agensi berita Xinhua, satu mesyuarat menteri Myanmar dan Bangladesh Ogos lalu bersetuju menghantar pulang pelarian itu.

Selain penghantaran balik pelarian, kedua-dua negara juga bersetuju melaksanakan syor Suruhanjaya Penasihat Khas di Rakhine.

Pada 6 Jun lalu, Myanmar menandatangani memorandum persefahaman dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk membantu proses penghantaran balik.

Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) dipercayai melancarkan serangan berulang di pos polis Rakhine pada 25 Ogos 2017, menyebabkan penduduk terpaksa melarikan diri dan berlindung di kawasan sempadan Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.