
Hasnul berkata desakan itu bermotifkan politik dan serangan peribadi sejak beliau mengambilalih jawatan presiden Pafa.
“Saya tidak terkesan dengan desakan itu,” katanya pada sidang media selepas menutup Karnival Sinar Harapan “Inspirasiku Teristimewa” di Dataran Pinggiran Sungai Kerian hari ini.
Beliau mengulas desakan penyokong tegar bola sepak Perak yang mahu Hasnul melepaskan jawatan tersebut selepas tindakannya disifatkan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus baru-baru ini.
Tindakan Hasnul yang menimbulkan kemarahan netizen termasuk tindakannya bergambar bersama Piala Malaysia di tepi kolam renang sehingga tular di media sosial.
Hasnul berkata beliau masih mendapat sokongan penuh daripada jawatankuasa exco eksekutif Pafa yang akan memutuskan sama ada beliau perlu melepaskan jawatan itu atau sebaliknya.
“Jawatankuasa exco eksekutif PAFA akan mengadakan mesyuarat exco Khamis ini memandangkan pelantikannya mendapat sokongan gabungan persatuan bola sepak daerah-daerah,” katanya,
Dalam pada itu, Hasnul mengakui kesilapan yang dilakukannya itu kelemahan dirinya sendiri kerana keterujaan selepas 18 tahun Perak menunggu detik kemenangan tersebut ditambah pula kemenangan itu digapai ketika beliau memegang jawatan presiden PAFA.
Tambahnya, sambutan untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Perak memenangi Piala Malaysia akan diadakan di beberapa daerah yang terpilih dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dijangka turut serta meraikannya bersama rakyat.