
Naib Pengerusi PKR Sabah Kenny Chua memberitahu FMT pemilihan di Keningau dibatalkan tetapi tidak memberi sebab keputusan itu.
Difahamkan proses e-undi di Keningau, yang dilihat sebagai kubu kuat Rafizi, dengan kira-kira 7,000 ahli layak mengundi, diganggu masalah hubungan internet.
Awal hari ini Rafizi diiring keluar dari pusat mengundi selepas terbabit dalam perkelahian dengan beberapa orang. Polis terpaksa campurtangan selepas beberapa orang merosakkan dan membuka tingkap di bangunan di mana pemilihan sedang berjalan.
FMT difahamkan bahagian itu kemudian mengadakan pengundian luar talian dan keputusan akan diketahui esok.
“Ia akan mengambil masa untuk mengira undi,” kata sumber.
Sementara itu Azmin mendahului di 11 bahagian, menurut keputusan tidak rasmi. Beliau memperoleh 5,115 undi berbanding 4,773 yang diperoleh Rafizi, dengan perbezaan 342 undi.
Difahamkan Azmin menang di Libaran, Sandakan, Kalabakan dan Tawau di pantai timur, dan Sepanggar dan Beaufort di pantai barat.
Rafizi menang di Kota Kinabalu, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu di pantai barat dan Batu Sapi di pantai timur.
PKR Sabah mempunyai 25 bahagian. 13 bahagian lain, yang Rafizi mempunyai peluang menang menurut pemerhati, akan memilih esok.
Sabah yang mempunyai lebih 143,000 ahli layak mengundi boleh menentukan pemenang jawatan nombor 2 PKR, yang menyaksikan persaingan sengit antara Rafizi dan Azmin.