

Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata, pengenaan cukai ke atas keuntungan daripada jualan hartanah yang dimiliki lebih daripada 5 tahun memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Harapan, dan berkata kerajaan Barisan Nasional dulu tidak mengenakan cukai sedemikian.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajan sedang menyemak semula kadar cukai ke atas keuntungan jualan hartanah yang dimiliki lebih daripada 5 tahun ketika membentangkan Belanjawan 2019 semalam.
Kerajaan akan mengenakan 5% cukai keuntungan hartanah (CKHT) ke atas semua rakyat dan menaikkan kadar yang dikenakan ke atas orang asing daripada 5% kepada 10%.
Pada masa ini, ia adalah cukai bertingkat daripada 30% untuk hartanah yang dijual dalam tempoh tahun pertama pemilikan kepada 0% selepas 5 tahun.
Bagaimanapun, mereka yang menjual hartanah bawah RM200,000 tidak perlu membayar RPGT.
Chang berkata: “Kami telah memiinta kerajaan supaya tidak menukar kadar CKHT untuk 2 hartanah pertama dan hanya menaikkan kadar CKHT bagi hartanah ketiga dan seterusnya.
“Dengan mengenakan kadar CKHT ke atas orang yang memiliki hartanah selama 5 tahun atau lebih, kerajaan mengenakan cukai ke atas inflasi dan ini akan menghukum pelabur jangka masa panjang.”
Beliau menggesa kerajaan pertimbang semula keputusan itu.

Sementara itu, Ernest Cheong, seorang juruukar hartanah berkanun berkata, perubahan kadar cukai ke atas keuntungan jualan hartanah tidak memberi kesan besar ke atas situasi ekonomi semasa.
Beliau berkata kebanyakan orang tidak mendapat keuntungan apabila menjual rumah mereka.
“Hakikatnya, CKHT adalah akademik. Jika seseorang membeli rumah sekitar 2014 dan menjualnya hari ini, dia mungkin kerugian dalam jualan itu,” katanya.
Cheong tertanya bagaimana kerajaan akan mengutip cukai berkaitan hartanah apabila pasaran hartanah dianggap “mati”.
Beliau juga tertanya sama ada mereka yang menjual hartanah sebelum tempoh 5 tahun itu perlu membayar cukai 5%.
“Adakah ini bermakna pemilik dikecualikan daripada CKHT atau perlu bayar? Menteri perlu menjelaskan cukai ke atas mereka yang menjual hartanah dalam tempoh kurang daripada 5 tahun,” katanya.
Pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang, Jerry Chan berkata kadar baharu itu tidak akan menghalang orang ramai daripada menjual hartanah.
Beliau berkata 5% itu bukan satu halangan dalam pasaran hartanah.
“Saya rasa kita boleh terimanya. Ia bukanlah sesuatu yang akan menghalang pelaburan jangka masa panjang,” katanya, dan menambah mereka sebagai pemaju faham keperluan kerajaan meningkatkan hasil untuk menyelesaikan hutang negara.