Tubuh kebun komuniti, hasil bekalan makanan sihat, selamat

Tubuh kebun komuniti, hasil bekalan makanan sihat, selamat

Dalam membantu komuniti setempat, setiap agensi kerajaan juga hendaklah memberikan sumbangan bagi menjayakan program tanaman ini dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ini.

Gambar Bernama

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak diminta mewujudkan Kebun Komuniti di kawasan masing-masing dalam memberikan hasil yang lumayan kepada penduduk setempat.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata usaha itu juga dapat memastikan semangat cintakan kehijauan alam sekitar di samping menghasilkan bekalan makanan yang selamat serta sihat tanpa menggunakan baja organik.

Katanya Perak memiliki kelebihan kerana mempunyai tanah yang dapat menampung aktiviti tersebut berbanding dengan negeri lain yang menghadapi kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.

“Kita perlu merebut peluang ini dan PBT perlu mengenal pasti tanah lapang yang boleh dijadikan kebun komuniti dan usaha ini juga dapat mengeratkan perpaduan antara kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebun Komuniti sempema sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 peringkat zon tengah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Jana, Taiping.

RPT Bukit Jana melaksanakan pelbagai jenis tanaman seperti jagung, cili, bendi, terung, sawi, kancang panjang dah serai membabitkan kawasan seluas 0.404 hektar di tanah rizab Sekolah Kebangsaan Bukit Jana di sini sejak 1 Nov 2015.

Abdul Aziz berkata pentadbiran kerajaan baharu sentiasa berusaha mempercepatkan permohonan tanah untuk pertanian, perumahan dan industri serta mengurangkan karenah birokrasi.

Menurut beliau dalam membantu komuniti setempat, setiap agensi kerajaan juga hendaklah memberikan sumbangan bagi menjayakan program tanaman ini dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Bandar Datuk Mohd Anuar Maidin berkata program kebun komuniti merupakan inisiatif untuk menggalakkan kewujudan persekitaran yang eksklusif ke arah mengajak masyarakat mencapai pembangunan mampan dan sejahtera.

Menurutnya melalui usaha itu akan membantu mengurangkan karbon dan mewujudkan kehidupan baik bagi komuniti setempat melalui amalan hijau.

“Usaha ini akan memberikan kesedaran dalam memastikan alam sekitar terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.