
Pengusaha resort, Asmadi Teh, 55, berkata dia berasa lega dan gembira kerana kerajaan tidak mengetepikan hasrat penduduk tempatan yang mahu pulau tersebut diangkat setanding pulau peranginan lain seperti Pulau Langkawi.
Katanya, pengusaha resort, hotel dan chalet antara yang menerima manfaat daripada pengumuman tersebut kerana ketibaan pelancongan akan melonjak seterusnya membawa limpahan rezeki kepada mereka.
“Ini sangat menggembirakan kerana sebelum ini tidak tahu status Pulau Pangkor sama ada akan diteruskan sebagai pulau bebas cukai atau tidak kerana telah bertukar pentadbiran kerajaan, namun hari ini semuanya terjawab.
“Saya yakin kerajaan akan melaksanakannya dengan sempurna sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada penduduk di pulau ini dan saya mengharapkan ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan akan menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.
Perkara sama turut diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Pulau Pangkor Mohamad Salleh Lebai Jusid, 78, yang memandu teksi di pulau berkenaan sejak 1961, pengumuman tersebut bakal merealisasikan impiannya.
“Seramai 112 pemandu teksi di pulau ini gembira dan akan mencari jalan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dalam menyambut pelaksanaan status pulau bebas cukai,” katanya yang menetap di Kampung Teluk Gedung.
Bagi pengusaha produk perikanan, Rasdi Ibrahim, 45, pengumuman tersebut dapat memacu ekonomi penduduk pulau peranginan itu terutamanya peniaga serta pengusaha produk perikanan dan makanan laut.
“Ini merupakan berita baik buat golongan nelayan di sini kerana pengusaha produk makanan laut akan membeli hasil mereka dengan kuantiti banyak berikutan permintaan dijangka meningkat,” kata Rasdi yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Pulau Pangkor.