
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Mamad Puteh berkata beliau amat berharap penggantungan itu tidak akan mengambil tempoh yang terlalu lama.
“Ini kerana proses pembinaan telah pun dimulakan, ada bukit yang sudah ditebuk dan ada binaan yang separa siap. Jika dibiarkan dalam tempoh lama, kita khuatir ia akan menjadi lokasi tumpuan kegiatan tidak berfaedah seperti tempat maksiat.
“Lebih membimbangkan jika berlaku kecurian di tempat binaan tersebut kerana ia terbiar tanpa sebarang pengawasan serta berisiko berlaku kerosakan serta runtuhan yang akhirnya menyebabkan pembaziran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan agar projek ECRL itu dapat diteruskan secepat mungkin kerana ia memberi banyak manfaat terhadap pembangunan Pantai Timur.
Menerusi pembentangan Bajet 2019, kerajaan mencadangkan kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 bilion digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.
Sementara itu, seorang pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Mohd Zulkohir Mohd Zaiki, 22, berkata beliau berharap projek itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana ECRL mampu memberi impak positif kepada golongan peniaga sepertinya.
“Dengan adanya ECRL, ia dapat memudahkan penghantaran produk saya terus kepada pelanggan di sebelah kawasan pantai Barat dengan cepat dan selamat.
“Sebelum ini saya mengedar produk dengan menggunakan perkhidmatan Poslaju atau syarikat kurier, namun ia mengambil masa yang lama serta menyebabkan risiko kerosakan pada produk hingga kadang-kala saya kehilangan pelanggan,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Haziman Rosli, 48, pula berkata rakyat Terengganu tidak perlu melatah dengan penangguhan itu kerana berpendapat kerajaan pusat memikirkannya dengan terperinci.
“Mungkin dalam tempoh penangguhan itu, kerajaan akan menaik taraf kemudahan jalan raya di negeri ini, lagipun ia bukanlah satu keperluan yang mendesak untuk ECRL dilaksanakan ketika ini,” katanya.