
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada unsur pilih kasih berlaku supaya semua ahli Parlimen dapat berkhidmat dengan sebaiknya kepada pengundi di kawasan mereka.
“Pelbagai langkah mesti diambil untuk memastikan ahli Parlimen pembangkang dan bebas tidak dikecualikan atau diasingkan dalam apa jua cara.
“Kerajaan Persekutuan wajib memastikan tanpa berat sebelah atau pilih kasih, mereka mempunyai sumber untuk berkhidmat kepada pengundi mereka termasuk dalam peruntukan kawasan, setara dengan ahli Parlimen PH,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut “menasihati” kerajaan yang diterajui partinya agar tidak melakukan siasatan rasuah dan penyelewengan membabitkan beberapa pemimpin pembangkang ketika ini atas dasar politik.
“Walaupun rasuah mesti dibawa ke pengadilan, namun siasatan sedemikian tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.
“Kami mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa hal seperti ini tidak akan berlaku,” katanya.
Sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei lalu, beberapa pimpinan Umno kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah dan penyelewengan.
Antaranya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Nik Nazri menambah, PH tidak lagi wajar menerima mana-mana ahli pembangkang yang berhasrat untuk “berhijrah” ke dalam parti itu.
“Sejak akhir-akhir ini banyak kontroversi di media mengenai khabar angin ahli Parlimen Barisan Nasional ingin melompat parti ke PH.
“Kita harus ingat, rakyat mengundi PH untuk menjadi kerajaan kerana mereka mahukan perubahan politik sebenar berlaku di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 Ahli Parlimen Umno mungkin meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM kerana mereka sudah beberapa kali menemui Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.