
Najib, ketika ditemui pemberita selepas pengumuman Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menegaskan kerajaan boleh menjana keuntungan daripada aset 1MDB untuk melunaskan hutangnya.
“Jelas mereka mahu menyalahkan (bekas) kerajaan BN dan isu 1MDB. Mereka tidak menyebut aset 1MDB.
“1MDB mempunyai banyak aset. Oleh itu, jika kita menjana keuntungan daripada aset-aset ini dan menetapkan harga terbaik, pinjaman 1MDB boleh dihapuskan.
“Ini tidak bermakna (saya cuba menghentikan) pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap salah guna kuasa.
“Tetapi saya hanya ingin katakan 1MDB mempunyai aset yang boleh digunakan untuk membayar hutang,” katanya.
Najib mendakwa defisit itu disebabkan oleh pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) kehilangan pendapatan bersih sebanyak RM44 bilion setahun.
“Kekurangan defisit berlaku apabila mereka memansuhkan GST, dan hilang RM44 bilion setahun. Mungkin lebih daripada itu. Semasa cukai dimansuhkan, mereka kehilangan RM55 bilion.
“Cukai jualan dan perkhidmatan tahun ini, mereka hanya berjaya memperoleh RM5 bilion. Terdapat jurang RM50 bilion, dan inilah punca sebenar yang menghantui menteri kewangan.
“Jurang RM50 bilion ini menjadi punca mengapa beliau terpaksa memesongkan isu itu ke arah 1MDB.
“Jika GST kekal, segala-galanya, termasuk MRT3, Rel Berkelajuan Tinggi, Landasan Keretapi Pantai Timur dan bantuan seperti BR1M, boleh dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dan 2 bekas pegawai Goldman Sachs yang didakwa Jabatan Kehakiman AS (DoJ) kerana konspirasi untuk mengubah wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing berkaitan 1MDB, Najib berkata terserah kepada DoJ untuk mengambil tindakan.
“Saya tiada komen mengenai itu kerana tindakan diambil berdasarkan undang-undang. Saya dah kata, biarkan segala-galanya berdasarkan undang-undang,” katanya.