SPRM buru warga British perunding PR Najib

SPRM buru warga British perunding PR Najib

Paul Stadlen dikatakan merupakan salah seorang anggota pasukan komunikasi bekas perdana menteri.

Stadlen dilaporkan ditawarkan sebanyak AS$420,000 untuk kontrak 6 bulan sebagai penasihat pentadbiran Najib. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ia kini sedang mengesan seorang warga British yang pernah bekerja dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai perunding perhubungan awam (PR).

Paul Stadlen, bekas bos firma perhubungan awam Apco Worldwide cawangan Malaysia, dipercayai merupakan salah seorang anggota pasukan komunikasi Najib di Jabatan Perdana Menteri.

SPRM berkata, Stadlen, 39, dikehendaki untuk soal siasat berkaitan siasatan yang sedang berjalan ke atas skandal 1MDB.

Stadlen mendapat liputan media 3 tahun lepas apabila pembangkang mempersoalkan gaji lumayan yang dibayar kepadanya, tetapi dinafikan oleh pentadbiran sebelum ini.

Sarawak Report mendakwa Stadlen dibayar “berjuta-juta ringgit” kerana membantu menggubal dasar komunikasi Putrajaya ketika itu.

Stadlen dilaporkan ditawarkan sebanyak AS$420,000 untuk kontrak 6 bulan sebagai penasihat pentadbiran Najib.

Bekas syarikat Stadlen, Apco berhadapan penelitian rapi apabila didedahkan bahawa firma PR itu mendapat bayaran tinggi bagi mempromosi kempen kerajaan lepas, termasuk slogan 1Malaysia Najib.

Syarikat berkenaan, yang juga digunakan oleh ahli politik kerajaan di Israel dan India, kemudiannya dibatalkan daripada peranan itu, walaupun Stadlen dikatakan berjaya memperoleh kontrak lumayan dengan kerajaan sebelum ini.

Menurut SPRM, alamat terakhir Stadlen ialah di Loft Sentral Condominium di KL Sentral. Mereka yang mempunyai maklumat tentang individu terbabit boleh menghubungi pegawai SPRM Zuhaila Arip (Tel: 03-8870-0354) atau Fahmee Md Noor (03-8870-0419).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.