Menarik, jenis muruku ini serlahkan sifat anda

Menarik, jenis muruku ini serlahkan sifat anda

Muruku adalah makanan snek wajib yang mesti ada di setiap kediaman orang India yang menyambut Deepavali

Bercakap mengenai perayaan Deepavali, kita tak dapat elak daripada makanan-makanan yang memberikan signifikan khas kepada sambutan tersebut.

Daripada masakan utama sarapan seperti thosai dan kari ayam atau chutney, makan tengah hari seperti kambing perattal dan ayam varuval diserasikan dengan sayur-sayuran serta nasi minyak sapi atau beriyani, minum petang hinggalah malam, makanan semestinya wajib.

Salah satu makanan yang dijamah sepanjang hari tidak kira pagi, tengah hari, petang atau malam ialah snek tradisional seperti muruku, muruku bunga, nei urundai, sippi hinggalah biskut moden seperti semperit, tart nenas, almond London dan biskut berperasa yang lain.

Apapun muruku adalah snek wajib yang mesti ada di setiap kediaman orang India yang menyambut Deepavali.

Ingat ya,namanya muruku dan bukan maruku!

Secara tradisional ia adalah masakan tradisional yang menggunakan tepung beras dan tepung dal putih, dicampurkan dengan rempah ratus seperti jintan manis dan jintan putih serta santan, minyak sapi dan sebagainya.

Penggunaan telur atau ikan bilis mahupun udang kering tidak sama sekali dipraktis dalam cara penyediaan tradisional kerana muruku, salah satu makanan nabati (vegetarian).

Muruku adalah makanan yang berasal dari selatan India dan terkenal di Tamil Nadu, Andra Pradesh serta Kerala selain turut popular di Sri Lanka.

FMT Ohsem akan menyenarai beberapa jenis muruku yang popular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Tamil Nadu yang sering diimport untuk memenuhi permintaan tempatan.

Rata-rata kebanyakan jenis muruku boleh dibuat di sini dan menjadi makanan kegemaran ramai sehinggakan ia turut terkenal dalam kalangan orang Melayu dan Cina.

Kami juga sertakan horoskop penggemar muruku untuk tujuan main-main sahaja!

Muruku asli

Muruku ini paling kerap ditemui di hampir semua rumah yang anda kunjungi sempena Deepavali. Kalau tak jumpa, anda ada segala hak untuk bertanya.
Sekali makan muruku, ketagihannya boleh berlanjutan jadi pandai-pandailah kawal diri.

Horoskop: Seorang yang praktikal dan mengikut perkembangan semasa secara bersama. Memilih untuk hidup dalam komuniti mesra. Seorang manusia biasa.

Omapudi

Omapudi dicampur kacang dal yang agak dominan rasanya. Ia kecil dan tidak berduri. Makanan yang ideal untuk di makan sambil menonton filem Rajinikanth pada Deepavali ini!

Horoskop: Orang yang lebih suka kesederhanaan dalam semua perkara. Tak menyusahkan orang tetapi biasanya boring!

Muruku mixture

Ia bersaiz halus dan sedikit panjang, selain itu turut disertakan ialah kacang tanah dan kacang pea hijau yang digoreng serta aduan muruku yang ditambah warna dalam bentuk sfera. Muruku ini juga menjadi snek yang paling digemari kerana anda akan dapat menikmati pelbagai rasa sekali celup tangan dalam balang makanan itu.

Horoskop: Seseorang yang happening atau bersifat keanak-anakan. Suka cuba benda baharu dan pandai berlawak jenaka. Untunglah!

Muruku Ragi

Ini untuk orang yang peka terhadap kesihatan. Ragi ialah sejenis gandum kurang kandungan karbohidrat dan gula selain tinggi serat. Kalau anda jumpa muruku jenis ini, mesti cuba sebab rasanya lebih kurang sama sahaja dengan muruku asli.

Horoskop : Sangat peka dengan kesihatan mereka. Suka bersenam atau selalu sahaja dalam diet. Sangat memilih tetapi tetap pandai menjaga hati semua.

Kai muruku

Muruku ini sangat popular di Tamil Nadu dan jarang dibuat di sini. Kalau anda jumpa juga, mungkin dibeli. Secara amnya ia lebih keras, berminyak (lazimnya minyak sapi) dan lebih berperasa.

Horoskop: Bersifat degil dan enggan berganjak dari keputusan mereka. Kadang-kala keras kepala.

Ribbon Muruku

Sefeminin namanya, muruku ini boleh jadi pedas! Lazimnya muruku ini ditambah serbuk kari atau serbuk cili untuk menambah rasa utama. Walaupun namanya muruku ia tetapi membawa rasa yang unik, antara rasa kacang dal dan pedas.

Horoskop: Walaupun kelihatan biasa-biasa, mereka ini cepat marah dan mudah ditenangkan. Ada sahaja drama mereka ini.

Muruku pagoda

Nama pagoda tidak ada kena-mengena dengan kuil Pagoda. Entah macam mana nama itu boleh wujud. Pagoda berbentuk tebal dan lebih keras dan kaya dengan perasa. Ini kerana pagoda didominasi dengan rempah ratus adalahnya lada putih atau hitam dan serbuk kari. Makan pagoda boleh buat anda haus, sediakan air di sebelah.

Horoskop: Tegas dan bermotif. Nak buat apapun kena ada perancangan dan format. Aduh!

Kodabale Muruku

Nama yang agak baru, rasanya juga jauh berbeza daripada muruku biasa. Ini adalah jenis muruku yang popular di Kartanaka dan berbentuk seperti cincin. Ia dibuat menggunakan tepung dal, tepung gandum, kelapa parut, serbuk cili dan sebagainya. Mungkin sukar dijumpai di sini, kalau jumpa kongsi pengalaman anda bersama kami.

Horoskop: Sukakan cabaran baharu. Berani berkenalan dengan orang dan berkawan. Orangnya simple jer.

Thattai Muruku

Muruku ini bulat dan leper tetapi rasanya boleh buat anda ketagih. Sama seperti makan keropok, Thattai bagaimanapun menggunakan resipi asas muruku dan digoreng atas minyak panas. Muruku ini hanya boleh didapati di kedai runcit India khususnya di Brickfields dan Klang atau kawasan Little India.

Horoskop: Tak pandai berjenaka, tak faham lawak. Susah tapi bersifat suka membantu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.