JPJ: Bilangan pemandu warga asing tanpa lesen di Cyberjaya membimbangkan

JPJ: Bilangan pemandu warga asing tanpa lesen di Cyberjaya membimbangkan

Kesedaran untuk memiliki lesen memandu antarabangsa dalam kalangan warga asing masih rendah.

Daripada 112 kenderaan yang diperiksa di Cyberjaya semalam, 80 warga asing didapati memandu tanpa lesen. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Bilangan pemandu warga asing memandu tanpa lesen di Cyberjaya cukup serius serta membimbangkan, dan mereka sering dilihat melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat semasa di jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata, beliau mendapati tahap kesedaran untuk memiliki lesen memandu antarabangsa (IDL) dalam kalangan warga asing masih rendah walaupun kebanyakan mereka merupakan orang terpelajar.

“Ini dapat dilihat dalam tempoh sejam setengah kami periksa 112 kenderaan dalam operasi di sini, terdapat 80 warga asing dikesan memandu tanpa lesen,” katanya pada satu persidangan media selepas melakukan operasi bersepadu membanteras pemandu warga asing memandu tanpa lesen di 3 lokasi berasingan di Cyberjaya di sini semalam.

Operasi selama satu jam setengah dengan kekuatan 190 anggota penguatkuasa itu turut melibatkan anggota dari polis; Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kastam, Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Sepang.

Nazli berkata, 112 pemandu warga asing yang diperiksa dalam operasi semalam terdiri daripada pemandu warga Nigeria 30 orang, diikuti Pakistan (27); Indonesia (23); Bangladesh (20); India 8; Palestin 2 dan masing-masing seorang daripada Lebanon dan Jordan.

Beliau berkata, menerusi 4 operasi khas di Cyberjaya tahun ini, pihaknya memeriksa seramai 504 warga asing, dengan majoriti kesalahan adalah memandu tanpa lesen serta beberapa kesalahan lain seperti kenderaan tanpa cukai jalan.

Dalam usaha mengurangkan kes warga asing memandu tanpa lesen, beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan ‘Sesi Bersama JPJ’ khusus untuk warga asing semasa mereka mendaftar di pusat pengajian masing-masing bermula tahun hadapan.

“Untuk itu, kita akan berkerjasama dengan polis dan pihak universiti serta kolej bagi mendedahkan kepada pelajar warga asing tentang undang-undang negara, terutama keperluan memiliki lesen memandu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.