Dr M: Jika berbaloi, kami akan bawa pulang jet Jho Low

Dr M: Jika berbaloi, kami akan bawa pulang jet Jho Low

Perdana menteri berkata, jet berharga AS$35 juta itu tidak boleh diterbangkan ketika ini.

Jet Bombardier Global 5000 yang dikaitkan dengan Jho Low kini disimpan di Lapangan Terbang Seletar, Singapura sejak disita pihak berkuasa negara itu tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membawa pulang jet Bombardier Global 5000 yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.

“Saya tidak pasti sama ada ia berbaloi untuk dibawa pulang sekarang.

“Pesawat itu tidak boleh diterbangkan pada ketika ini dan jika ia berbaloi, kita akan bawa pulang,” kata perdana menteri selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia, hari ini.

Jet berharga AS$35 juta itu kini disimpan di Lapangan Terbang Seletar, Singapura sejak disita pihak berkuasa negara itu tahun lalu.

Sebuah Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) hari ini membenarkan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dan Global One Aviation Ltd (Global 5000) menjual jet itu.

Peguam Global 5000 dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan bidaan rasmi untuk menjual jet itu dan hasil jualannya akan disimpan secara eskrow di AS sehingga hak sah pihak terbabit ditentukan prosiding kehakiman.

Sementara itu, Dr Mahathir mengalu-alukan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo menjadi saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, jika warga Switzerland itu mempunyai bukti kukuh.

“Saya rasa kalau kamu (Justo) boleh berikan bukti yang relevan, kamu diundang (menjadi saksi). Ia bergantung kepada pendakwa raya.”

Beliau mengulas kenyataan Justo dalam wawancara eksklusif dengan Astro Awani yang mendakwa perjanjian usaha sama antara PetroSaudi dan 1MDB sengaja diadakan untuk mencuri wang.

Katanya, sebelum perjanjian itu dimeterai pada September 2009, PetroSaudi ialah syarikat yang hampir tidak wujud.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, parti politik tidak perlu menubuhkan cawangan di universiti kerana mahasiswa bebas bersuara hari ini.

“Anda bebas bercakap apa yang mahu. Tak payahlah bagi (parti politik tubuh cawangan di universiti).”

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang dilaporkan berkata, cawangan parti politik boleh ditubuhkan di universiti kerajaan selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda, sejajar cadangan umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Katanya, penubuhan cawangan parti politik itu hanya terpakai di universiti awam tertakluk kepada AUKU.

“Ada 2 universiti tidak tertakluk kepada AUKU, iaitu UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan UIA (Universiti Islam Antarabangsa),” katanya Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.