Syed Saddiq: Kalau bukan pakar, ahli politik jangan ketuai persatuan

Syed Saddiq: Kalau bukan pakar, ahli politik jangan ketuai persatuan

Kementerian Belia dan Sukan tidak akan melayan ahli politik yang hanya menggunakan jawatan persatuan sukan untuk mendapatkan dana.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta ahli politik jangan mengetuai persatuan sukan tanpa kepakaran sewajarnya.

Beliau berkata kementeriannya tidak akan melayan ahli yang hanya menggunakan jawatan persatuan sukan untuk mendapatkan dana.

“Kalau seseorang ingin mengepalai persatuan sukan dan sebagainya tetapi tiada kepakaran ataupun minat, dan hanya kerana kedudukan, saya nasihatkan mereka tolonglah tolak tawaran.

“Kalau tetap buat perkara tersebut, tolonglah jangan datang minta peruntukan tambahan. Saya sudah menjauhkan diri daripada proses pemilihan. Agihan memang dibuat secara bebas,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2018-2022 kerana minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak.

“Saya telah diminta oleh banyak pasukan bola sepak di sekitar Kuala Lumpur dan memang saya meminati bola sepak semenjak kecil serta pernah terpilih menjalani pemilihan bersama pasukan Selangor semasa menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC).

“Semasa saya menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang dahulu, atas permintaan rakan-rakan, saya telah membantu pasukan Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja musim 2017 dan telah berjaya menjadi juara dengan menewaskan pasukan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berharap industri sukan akan bebas daripada pengaruh politik.

“Saya kenal orang walaupun sebelah Barisan Nasional tetapi saya tidak ambil tindakan kerana dia jaga ragbi dengan baik.

“Saya sokong beliau dan peruntukan yang adil diberikan. Tak kira BN ke Pakatan Harapan. Tapi kalau hanya mahu kedudukan, tolonglah jangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.