Objek dipercayai bangkai Lion Air ditemui

Objek dipercayai bangkai Lion Air ditemui

Panglima Tentera Nasional Indonesia berkata, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan teknologi sonar mengesan objek itu di satu koordinat di perairan Tanjung Karawang hari ini.

Hadi Tjahjanto berkata, pasukan penyelam diarah ke koordinat di perairan Tanjong Karawang, susulan penemuan satu objek dipercayai bangkai pesawat hari ini. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada Isnin, mengesan satu objek dipercayai bangkai pesawat itu.

Laporan televisyen tempatan memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto sebagai berkata, pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar mengesan objek itu di satu koordinat di perairan berkenaan hari ini.

“Belum diyakini (bangkai pesawat). Saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang diduga (dipercayai) adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air),” katanya dipetik siaran televisyen Berita Satu.

Beliau yang turut serta dalam operasi pencarian itu berkata, pasukan penyelam sudah diarah ke lokasi berkenaan.

Operasi pencarian 24 jam itu melibatkan anggota tentera, polis serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) menggunakan 35 kapal, 3 helikopter serta 3 pesawat, selain pasukan penyelam.

Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.

Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi hari sama, waktu Indonesia Barat, dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.