Mahu sayur tahan lama dalam peti sejuk, ini tipsnya

Mahu sayur tahan lama dalam peti sejuk, ini tipsnya

Sayur seharusnya disimpan mengikut cara-cara tertentu, bukan mencampak di dalam petik sejuk

Simpan sayur dalam peti sejuk tidak menjamin kesegaran kecuali ia disimpan secara betul.

Butterkicap berkongsi petua menyimpan sayur dengan betul bagi mengelakkan ia mudah rosak.

Penyimpanan yang betul membantu sayur-sayuran tahan lama sehingga tempoh 2 minggu dan ia masih kekal segar untuk digunakan.

Biasanya, apabila anda menyimpan sayuran dalam peti sejuk, ia akan bertukar warna kekuningan dan menjadi layu walaupun baru lagi membelinya. Terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan bagi mengekalkan kesegaran dan menjadikan sayur-sayuran lebih tahan lama.

Bersihkan simpan dalam plastik, bekas kedap udara

Sayur-sayuran yang jenis mudah rosak dan cepat layu seperti bayam, brokoli, sawi dan sebagainya seeloknya disimpan terlebih dahulu dalam plastik sebelum anda memasuknya dalam peti sejuk. Bagi sayur-sayuran yang dibersihkan, anda perlu menyimpannya dalam satu bekas kedap udara dan diletakkan dalam peti sejuk. Ia akan mengekalkan kesegaran sayur tersebut dan ia akan tahan lebih lama.

Bungkus paper towel

Bagi sayuran yang hendak dibungkus dengan ‘paper towel’, anda perlu mencucinya terlebih dahulu sehingga bersih bagi membuang pasir atau kekotoran pada sayuran. Kemudian anda bungkuskan sayuran tersebut dengan ‘paper towel’, ia bertujuan mengurangkan kelembapan pada sayuran supaya ia lebih tahan lama dan masih segar digunakan untuk tempoh yang panjang sedikit.

Salah satu petua yang boleh dilakukan untuk tujuan penyimpanan sayur-sayuran lebih tahan lama ialah dengan cara berikut:

Merendam sayur-sayuran

Langkah pertama, anda perlu merendamkan sayuran selama 5 hingga 10 minit. Kemudian, biarkan sehingga sayur-sayuran tersebut tenggelam. Bagi sayuran seperti kangkung dan bayam kebiasanya akan diasingkan kerana ia berpasir. Kekalkan akarnya dan jangan dipotong. Ia hanya boleh dipotong apabila anda ingin memasak sayur tersebut dan bersihkan sekali lagi sebelum menggunakannya.

Tambahkan garam

Selain itu, anda boleh taburkan secubit garam ketika mencuci sayur-sayuran tersebut. Garam berfungsi untuk menghilangkan segala sisa-sisa bahan kimia atau racun serangga yang masih terlekat pada sayur-sayuran tersebut. Anda hanya perlu rendamkan seketika dalam rendaman air garam selama lebih kurang 10 minit sebelum digunakan.

Apabila sayuran tersebut siap untuk digunakan, toskan sayuran dan biarkan dahulu selama 5 minit.

Simpankan dalam bekas

Bagi sayuran yang tidak digunakan dan ingin disimpan dahulu, sediakan satu bekas kedap udara dan susunkan sayur-sayuran tersebut ke dalamnya. Kalau anda ingin menjimatkan ruangan dalam peti sejuk, anda boleh juga menggunakan plastik kedap udara atau anda gunakan sahaja ‘ziplock bag’. Walaupun ia sudah 2 minggu dibeli, sayur-sayuran tersebut akan kekal segar seperti baru dibeli dari pasar.

Botol plastik

Selain itu, bagi sayuran seperti daun bawang, anda boleh mengekalkan kesegarannya dengan menyimpan dalam botol plastik. Anda hanya perlu memotong daun bawang kecil-kecil dan jemurkan seketika. Kemudian, masukkan potongan daun bawang tersebut dalam botol plastik dan letakkan ia dalam peti sejuk.

Cara mudah yang lain untuk menyimpan sayuran lebih tahan lama ialah dengan membungkuskan sayur-sayuran tersebut dalam kertas aluminium foil. Ia akan menjamin ketahanan sayuran selama dua hingga tiga minggu jika disimpan rapi dalam peti sejuk. Tips ini sesuai digunakan bagi mengekalkan kesegaran daun saderi, brokoli, dan salad.

Kebiasaannya, ruangan untuk sayuran dalam peti sejuk di bahagian paling bawah. Sayur-sayuran akan mudah layu dan jika anda ingin mengekalkan kesegaran dengan cara membungkuskan sayuran dalam plastik atau surat khabar yang dilembapkan dengan rapi.

Suhu bersesuaian

Anda diingatkan supaya tidak meletakkan sayuran dalam ruangan dingin beku kerana ia akan menyebabkan sayur-sayuran lebih cepat layu dan rosak. Pastikan suhu yang digunakan untuk menyimpan sayur-sayuran bersesuaian.

Bagi sayuran yang memerlukan suhu yang sejuk seperti jagung, buahan beri, dan cendawan, ia perlu disimpan dalam plastik dan dibalutkan dalam kertas dengan rapi. Bagi sayuran yang perlu mengekalkan kelembapan, ia hendaklah disimpan dengan baik dalam ruangan laci untuk sayuran dalam plastik atau bekas kedap udara yang sesuai. Contoh sayuran seperti lobak merah, timun, sayuran hijau, sayuran kekacang dan sayur asparagus.

Bagi mengekalkan kesegaran dan kerapuhan sayuran jenis ulam-ulaman, anda hanya perlu merendam ulam-ulam dalam air yang dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limu nipis. Kemudian biarkan seketika dan tos ulam-ulaman tersebut. Ulam-ulaman tersebut akan kekal segar dan rangup walaupun dibiarkan lama sebelum dimakan.

Artikel ini pernah diterbitkan di dalam laman www.butterkicap.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.