Calon presiden MCA dihalau dari lobi Parlimen kerana langgar peraturan

Calon presiden MCA dihalau dari lobi Parlimen kerana langgar peraturan

Pegawai keselamatan Parlimen berkata, Ngoo Teck Keong dilarang berada di kawasan lobi kerana beliau bukan ahli Parlimen dan tidak membuat permohonan untuk mengadakan sidang media.

Seorang anggota polis bantuan dan pegawai keselamatan Parlimen mengiringi Ngoo Teck Keong keluar dari lobi Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Calon presiden MCA, Ngoo Teck Keong dihalau dari lobi Parlimen hari ini kerana beliau bukannya ahli Parlimen dan mengadakan sidang media tanpa kelulusan pihak Parlimen.

Seorang pegawai keselamatan Parlimen berkata, hanya ahli Parlimen dibenarkan mengadakan sidang media di kawasan lobi.

“Dia melanggar peraturan membawa dan membuka plakad di kawasan lobi.

“Kawasan lobi hanya untuk ahli Parlimen, menteri, timbalan menteri, speaker dan timbalan speaker melakukan sidang media,” kata pegawai keselamatan Parlimen itu kepada wartawan.

Beliau turut memberitahu Ngoo supaya membuat permohonan kepada setiausaha Parlimen terlebih dahulu untuk mengadakan sidang media.

Pasukan keselamatan Parlimen bertindak merampas poster “Kembalikan maruah MCA” yang dipegang Ngoo, sebelum seorang anggota polis bantuan dan pegawai keselamatan Parlimen mengiringinya keluar dari lobi Parlimen selepas 15 minit sidang media berlangsung.

Pegawai keselamatan Parlimen turut merampas poster yang dipegang Ngoo Teck Keong.

Ngoo berkata, beliau tidak tahu lobi Parlimen ialah kawasan larangan bagi individu bukan ahli Parlimen.

Terdahulu, ketua Pemuda MCA Beruas itu menggesa ahli parti itu menolak pencabarnya yang menyandang jawatan timbalan presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA Kluang, Gan Ping Sieu.

“Jangan undi Wee dan Gan sebab MCA akan hancur.”

Tiga calon itu akan merebut jawatan nombor satu dalam MCA itu menerusi pemilihan parti, Ahad ini.

Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti tahun ini bagi memikul tanggungjawab penuh kekalahan MCA dalam pilihan raya umum lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.