
Wong membuat dakwaan di Dewan Rakyat hari ini dan dilapor berkata “ada salah guna kuasa apabila laporan audit asal dipinda atas arahan orang tertentu”.
Laporan muktamad JAN ke atas 1MDB dikelaskan sebagai dokumen rahsia kerajaan bawah Akta Rahsia Rasmi pada Januari 2016.
“Mujurlah ada pertukaran kerajaan pada 9 Mei. Selepas itu barulah ia boleh dilihat semula,” katanya ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.
Wong, yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seterusnya mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara dilumpuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional terdahulu ekoran skandal 1MDB.
“PAC dan JAN turut terjejas,” katanya.
Laman berita itu juga melaporkan ketua audit negara ketika itu Tan Sri Ambrin Buang ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan Wong.
Wong juga enggan mengulas lanjut “kerana terikat dengan peraturan mesyuarat”.
JAN diarah melakukan audit terhadap akaun 1MDB pada Mac 2015 oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan laporannya diserah dibentangkan kepada PAC pada Mac 2016.
PAC membentangkan Laporan Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB di Dewan Rakyat pada April 2016 tanpa laporan JAN.
Nama perdana menteri tidak disebut secara langsung dalam laporan PAC, yang dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Status rahsia laporan JAN sudah digugurkan dan orang ramai boleh mendapatkan ringkasan eksekutif laporan itu di laman JAN.