
Pengurus kanan PIA, Nadzim Hashim ketika dihubungi berkata, Jabatan Meteorologi mencatatkan taburan hujan sebanyak 48.8mm susulan hujan sejak 8.30 pagi tadi.
Katanya, kawasan paling terjejas ialah tempat parkir pesawat turboprop, di mana paras air setinggi buku lali dan melimpah ke balai pelepasan bagi pesawat berenjin turboprop.
Beliau berkata, 28 penumpang sebuah penerbangan terpaksa meredah air untuk menaiki pesawat ke Subang yang berlepas pada 9.40 pagi, manakala pesawat lain sempat dilencongkan ke balai pelepasan lain.
“Disebabkan tempat parkir pesawat pada masa itu penuh, penumpang penerbangan tersebut terpaksa meredah air untuk menaiki pesawat.”
“Tiada kelewatan serius dan air surut selepas hujan berhenti.”
Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi berkaitan menyiasat punca banjir serta mengambil tindakan segera bagi mengelakkan ia berulang.
“Saya sudah berjumpa dengan pihak pengurusan PIA untuk meminta kemudahan dan perkhidmatan di lapangan terbang itu dinaik taraf.
“Saya berharap semua jabatan dapat bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang supaya ia mempunyai kualiti bertaraf antarabangsa.”
Seorang penumpang terjejas, Chang Kah Loon menggesa kerajaan memberi lebih banyak peruntukan bagi menambah baik sistem perparitan.