
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, pelantikannya yang berkuat kuasa bulan lalu, hanya diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
“Dia (Zahid) lantik (saya) bulan lalu. Hari ini diumumkan kepada khalayak,” kata Nazri ketika dihubungi FMT hari ini.
Zahid pernah menawarkan jawatan setiausaha agung BN kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, tetapi ditolak bekas ketua Pemuda Umno itu.
Ditanya kenapa jawatan itu tidak diberikan kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, Nazri berkata, Zahid mahu memastikan agenda Umno tidak menjadi agenda BN.
“Kalau setiausaha agung Umno jadi setiausaha agung BN, nampak dia akan bawa agenda Umno.
“Ia seharusnya berbeza, jadi saya percaya disebabkan itu dia (Zahid) ambil orang yang berlainan untuk jadi setiausaha agung BN supaya agenda saya menjadi agenda BN, bukan Umno punya agenda.”
Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu berikrar merapatkan hubungan BN dengan parti komponennya dan parti lain.
“Bukan sahaja di kalangan kerabat Barisan, parti lain pun sama, yang boleh bekerjasama dengan kita.”