
Beliau yang dipetik Bernama bagaimanapun berkata, mereka tidak membuat sebarang keputusan jika mahu menyertai PPBM.
Berita Harian pula memetik Muhyiddin sebagai berkata, ahli Parlimen Umno itu berjumpa dengannya untuk mendapatkan pandangan mengenai politik dan hala tuju PPBM.
“Kita seperti awal-awal dulu, terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat, termasuk dari Umno, sama ada mereka yang berjawatan atau ahli biasa, jika mahu menyertai PPBM.
“…saya tak boleh sebut namanya, (mereka) berjumpa saya untuk mendapatkan pandangan mengenai keadaan politik semasa dan dasar parti,” katanya selepas menemui pemimpin tempatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Tangkak, hari ini.
Tok Pa tidak minta jawatan
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ikhlas menyertai PPBM tanpa meminta sebarang jawatan.
Beliau berkata, Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa yakin dengan perjuangan parti itu, selain menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PPBM.
“Mustapa awal-awal lagi menyatakan kepada saya, dia tidak berhajat memegang apa-apa jawatan dalam parti dan saya yakin beliau ikhlas menyertai parti.
“PPBM sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang boleh memperkukuhkan parti dan Mustapa pun dah lama (dalam politik), juga sebagai menteri dan ahli Parlimen.”
Mustapa yang meninggalkan Umno 18 September lalu, menyerahkan borang keahliannya kepada Dr Mahathir sambil disaksikan Muhyiddin dan pimpinan tertinggi PPBM malam tadi.
Hukuman mati mandatori
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mengumpul maklum balas pelbagai pihak, sebelum memuktamadkan pemansuhan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di Malaysia.
Menteri dalam negeri itu berkata, ia akan diteliti Jabatan Peguam Negara, sebelum dibentangkan di Parlimen.
Katanya, kerajaan perlu meneliti pelbagai sudut sebelum mengikut jejak negara lain memansuhkan hukuman mati.
“Media pun buat kajian, ada yang setuju, ada yang tidak. Setakat ini, keputusan muktamad belum dibuat.”
Kesihatan Muhyiddin
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Adun Gambir dalam ucapannya berkata, beliau kini 60% pulih selepas pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas dan beberapa sesi kemoterapi.
“Pankreas saya dipotong 40%, begitu juga deodenum dan saluran hempedu turut dipotong. Saya perlu menjalani 8 sesi kemoterapi, di mana 4 sudah selesai, 4 lagi akan dilakukan dalam tempoh 4 bulan ini.”