Selepas didesak bercuti, Zahid ajak ahli Umno hancurkan musuh

Selepas didesak bercuti, Zahid ajak ahli Umno hancurkan musuh

Presiden Umno itu berkata, beliau meraikan kepelbagaian pendapat dan mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno yang mencadangkan beliau bercuti sementara menunggu perbicaraan rasuahnya.

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan pandangan pelbagai pihak yang menyarankan beliau bercuti daripada tugas presiden Umno sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuah.

Tetapi, beliau yang tidak bersetuju atau membantah cadangan itu, mengajak ahli Umno memfokuskan usaha menentang musuh yang mahu menghancurkan parti itu.

“Terima kasih di atas pandangan Pemuda Umno. Saya raikan kepelbagaian pendapat,” katanya merujuk cadangan pergerakan itu semalam supaya beliau bercuti sementara menunggu perbicaraan rasuahnya.

“Namun, yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan Umno. Umno bangkit,” tulisnya di Twitter hari ini.

Semalam, Pemuda Umno meminta Zahid bercuti untuk menumpukan perhatian terhadap perbicaraan rasuah yang dihadapinya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, perbicaraan Zahid dijangka “mengambil tempoh panjang” dan Pemuda Umno berpendirian ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak wajar meletak jawatan, selagi tidak terbukti bersalah.

Pada 19 Oktober lalu, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Bagi 10 tuduhan pecah amanah itu, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan itu yang diamanahkan kepadanya.

Puteri Umno hari ini bagaimanapun dilaporkan menolak pendirian Pemuda dan berkata, sayap itu akan terus memberi sokongan moral kepada Zahid.

“Puteri terus memberi sokongan kepada presiden parti untuk mempertahan dan melindungi parti daripada terjerumus ke jurang lebih berbahaya demi masa depan agama, orang Melayu dan negara tercinta.

“Kami umpama anak yang tidak tergamak ‘menghentak’ dan menambah beban emosi kepada ‘ayah’ yang sedang berhadapan masalah ketika menguruskan ‘keluarga besar Umno’,” kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.

Sebelum ini, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, jalan terbaik bagi Zahid ialah bercuti atau meletak jawatan kerana sebelum ini ada pemimpin tertinggi Umno berbuat demikian apabila didakwa ke mahkamah.

Katanya, Jemaah Penasihat Umno akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan soal parti dan kedudukan Zahid sebagai presiden parti dan keputusannya akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk tindakan lanjut.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pula dilaporkan berkata, sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) parti itu untuk pemegang jawatan tinggi mengambil cuti bekerja sekiranya didakwa di mahkamah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.