Najib: Dana ke akaun saya terus dari kementerian Saudi

Najib: Dana ke akaun saya terus dari kementerian Saudi

Najib Razak berkata hampir semua dana RM2.6 bilion itu sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkannya selepas 4 bulan diterima.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kebanyakan dana yang disalurkan ke akaunnya adalah terus dari Kementerian Kewangan dan putera Arab Saudi.

Beliau berkata demikian sejurus Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa Menteri Luar Negeri Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

“Walaupun sebelum ini Adel pernah 2 kali mengesahkan Arab Saudi yang menderma wang kepada saya, Saifuddin mendakwa Adel memberitahu dia, wang yang disebut RM2.6 bilion tidak ada kaitan dengan Arab Saudi.

“Ini ialah hantaran mengenai penjelasan saya bulan lepas di mana saya memberi bukti semua surat-surat dari penderma ialah dari orang yang sama,” katanya di Facebooknya sambil menunjukkan beberapa bukti dokumen dari bank.

Najib berkata hampir semua dana yang disebut RM2.6 bilion itu sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkannya selepas 4 bulan diterima.

“Saya pun didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” katanya.

Sebelum itu, Saifuddin mendakwa derma RM2.6 billion yang diterima Najib tiada kena mengena dengan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkannya selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra hari ini.

Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata: “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.”

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

Sementara itu, Najib dalam temubualnya dengan Al Jazeera mendedahkan dia mengandaikan wang itu derma daripada Raja Abdullah Abdul Aziz selepas raja Arab Saudi ini memberi jaminan menyokongnya.

“Persoalannya ialah apabila saya menerima dana itu, adakah saya sedar sumber wang itu atau ada pertikaian tentang sumber wang dan pemilik dana itu. Sudah tentu, dalam kapasiti saya, saya tiada akses kepada pengetahuan perbankan.

“Oleh kerana sesiapa yang memiliki dana itu dilindungi oleh kerahsiaan undang-undang perbankan, jadi apabila saya menerima dana itu, jujur saya katakan bahawa saya fikir ia sumbangan ikhlas dan pada masa itu, apa yang saya tahu berdasarkan kepada perbualan dengan Raja Abdullah,” Najib dipetik sebagai berkata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.