Mahkamah arah suspek kes langgar lari di Cyberjaya dilepas serta-merta

Mahkamah arah suspek kes langgar lari di Cyberjaya dilepas serta-merta

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan suspek dan 2 rakannya yang direman 5 hari bermula 23 Oktober.

Reman suspek langgar lari di Cyberjaya itu menyalahi prosedur undang-undang. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan suspek utama kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian pekerja Telekom Malaysia Bhd™ Unifi di Cyberjaya pada minggu lepas, dilepaskan daripada tahanan reman serta-merta.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman turut memerintahkan 2 rakan suspek yang turut direman, dilepaskan sebelum pukul 5.00 petang ini.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan suspek warga Libya berusia 23 tahun tersebut serta 2 rakannya warga Yemen, 22, dan Libya, 20, yang direman selama 5 hari bermula Selasa lepas (23 Oktober).

Semua suspek direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, mereka direman mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata mahkamah mendapati permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak menunjukkan suspek dilepaskan daripada tahanan reman terdahulu (di bawah Seksyen 41 APJ) dan ditangkap semula.

“Ini menjadikan permohonan reman itu sambungan kepada reman terdahulu yang menyalahi Seksyen 117(2) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), ditambah lagi majistret tidak beri apa-apa sebab berkenaan penahanan (reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan).

“Dengan ini mahkamah menyemak perintah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Sepang dan ketiga-tiga suspek dilepaskan serta-merta sebelum pukul 5.00 petang ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Dinesh Muthal berhujah pihaknya percaya majistret terkhilaf ketika mengeluarkan perintah reman selama 5 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, peruntukan di bawah Seksyen 117 KPJ tidak membenarkan pihak polis untuk menangkap semula suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan menggunakan fakta-fakta yang sama ketika permohonan reman di bawah Seksyen 41 APJ.

“Saya tidak cakap anak guam saya tidak bersalah tetapi prosedur undang-undang telah disalahgunakan,” katanya.

Selain Dinesh, ketiga-tiga suspek turut diwakili peguam Luqman Mazlan, Mohd Redhuan Mohamed Yusoff, Jeremy Vinesh, Mehnagha Luckhmana dan Nur Siti Fairuz Roslan sementara Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli hadir bagi pihak responden.

Dalam kes langgar lari pada 17 Oktober itu, yang video kejadian tersebut tular, mangsa penolong pengurus GTM Event Sales, Wan Amirah Wan Alias, 31, meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.