
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan mengisytiharkan peruntukan Kanun Tatacara Jenayah yang didakwa Hasanah telah menafikan hak perlembagaannya tidak mendiskriminasikan mana-mana orang dalam tahanan pihak berkuasa.
“Seksyen 28(8) dan 28(9) tidak menghilangkan hak tahanan diwakili peguam. Peruntukan-peruntukan itu hanya menangguhkan (suspend) hak itu buat sementara,” katanya dalam penghakiman ringkas.
Beliau menambah Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa tahanan ada hak diwakili peguam tetapi hak itu tak dipakai serta-merta.
Hakim tidak memerintahkan kos semasa membuang tuntutan Hasanah.
Hasanah direman selama 5 hari pada Ogos dalam siasatan SPRM ke atas dakwaan penggelapan RM50 juta (AS$12.1 juta) dana kerajaan.
Beliau membuat tuntutan itu bulan lepas, dan mendakwa Seksyen 28(8) dan 28(9) kanun Tatacara Jenayah berlawanan dengan Perkara 5(3) dan 8 Perlembagaan Persekutuan tentang hak diwakili peguam dan kesamaan di sisi undang-undang.
Hasanah didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan pecah amanah berkaitan RM50 juta itu. Beliau membayar ikat jamin sebanyak RM500,000 dan diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) itu menerjah ke muka depan akhbar kerana kontroversi suratnya kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum pilihan raya umum lepas untuk meminta Washington menyokong kerajaan Barisan Nasional.
Surat itu disiasat polis tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak mendedahkan butiran siasatan itu.
Hasanah bersara daripada perkhidmatan awam selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
Ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Hasanah, Shaharudin Ali berkata pihaknya akan merayu keputusan itu.
“Kami meragui keputusan itu kerana ia dibuat berdasarkan dapatan mahkamah sebelum ini yang tidak memihak kepada tahanan,” katanya.
Beliau bertegas Hasanah dinafikan hak untuk diwakili peguam semasa dalam tahanan reman.
Seorang lagi peguam Hasanah, Khairul Azam Abdul Aziz berkata tuntutan itu bukan sahaja mengenai kes Hasanah terhadap pihak berkuasa.
“Keputusan hari ini terpakai ke atas mana-mana yang ditahan, dan hak mereka mendapatkan nasihat peguam.”